suria

Fogging Bukan Penyelesaian Kes Denggi - Subramanian

Fogging antara langkah untuk menangani kes denggi

KUALA LUMPUR: Semburan kabus atau "fogging" bukan penyelesaian muktamad kepada peningkatan kes demam denggi yang dilihat semakin membimbangkan, kata Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Menteri Kesihatan itu memberitahu persidangan Dewan Negara, Isnin bahawa masayarakat perlu sedar langkah yang diambil kementerian itu bersifat sementara kerana ia hanya mampu membunuh nyamuk dewasa sahaja.

"Masyarakat jangan harap kepada 'fogging' sahaja kerana cara paling berkesan ialah penglibatan aktif mereka untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes sama ada di dalam rumah atau persekitaran," katanya menjawab soalan Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader mengenai perkara itu.

Dr Subramaniam berkata, 66 kematian akibat demam denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh Januari daripada keseluruhan 28,814 kes.

Beliau berkata, statistik itu menunjukkan peningkatan ketara dan membimbangkan jika dibandingkan dengan keseluruhan 43,346 kes demam denggi dengan 92 kematian yang direkodkan tahun lalu.

Beliau berkata, perubahan jenis virus daripada DEN 4 kepada DEN 2 pada Mac tahun ini yang boleh menyebabkan kes kematian meningkat merupakan antara faktor peningkatan kes kematian denggi.

Katanya, jangkitan virus serotaip DEN 2 akan memberi manifestasi klinikal lebih teruk dan mempunyai risiko komplikasi lebih tinggi berbanding jangkitan serotaip lain.


denggi, Subramaniam, fogging

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain