suria

Paip Pecah Punca Jadual Catuan Terjejas

KUALA LUMPUR: Pelan catuan bekalan air dilapor terjejas di beberapa kawasan di Jalan Serendah, Jalan Besar Serendah (Rawang), Jalan Universiti (Petaling Jaya) dan Jalan Subang (Sungai Buloh) berikutan kejadian paip pecah, sejak semalam.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred berkata kejadian itu menyebabkan kelewatan bekalan air ke kawasan yang sepatutnya mendapat bekalan air.

"Bekalan air akan disalurkan sebaik sahaja kerja-kerja pembaikan paip pecah siap dijalankan dan tempoh penyaluran dipanjangkan sedikit dari yang dijadualkan," menurutnya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Pada masa sama, Priscilla turut memaklumkan terdapat kelewatan pada penyaluran air di beberapa kawasan catuan termasuk Prima Village dan Rawang Perdana di Wilayah Hulu Selangor ekoran perbuatan mencuri peralatan di rumah pam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sejak semalam.

Bagaimanapun, menurut beliau peralatan itu telah diganti semula oleh Syabas dan bekalan air kembali disalurkan ke kawasan pengguna.

Sementara itu, Priscilla berkata Syabas turut mengingatkan Badan Pengurus Bangunan bagi kediaman bertingkat supaya mengawal paras kolam simpanan air masing-masing sehingga mencapai paras yang stabil sebelum melepaskan air kepada penduduk.

Ini bagi membantu penduduk berkenaan menerima bekalan air mengikut tempoh yang dijadualkan.

Priscilla turut memperjelaskan tentang dakwaan bahawa pengusaha kilang terpaksa membayar kos pembelian air yang diuruskan pihak ketiga yang menyediakan lori tangki air dengan caj yang tinggi.Jelasnya, kos berkenaan merangkumi kos yang dikenakan pihak Syabas, kos pengangkutan dan unsur keuntungan yang dikenakan pihak ketiga terbabit.

"Kos yang dicajkan oleh Syabas adalah RM100 untuk setiap trip lori tangki sebagai kos pentadbiran dan kos ujian kualiti air manakala kos untuk pembelian air pula dikenakan pada kadar RM2.07 setiap meter padu iaitu kadar air untuk pengguna industri," katanya.

Beliau turut memaklumkan Loji Rawatan Air Wangsa Maju oleh Puncak Niaga (M)
Sdn Bhd telah beroperasi semula selepas dihentikan ekoran tahap kekeruhan air di Sungai Gombak melampaui tahap yang dibenarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain