suria

Bekas COO Tidak Kesal Jadi Suri Rumah Selepas Bebas Parol

Samad tidak pernah menyifatkan status sebagai suri rumah sebagai sesuatu yang perlu dikesali, sebaliknya bersyukur kerana diberi peluang menghabiskan baki hukuman di luar penjara dan masih mendapat sokongan isteri dan dua anak perempuannya.
Eksklusif MUKADIMAH: Sistem Parol yang dilaksanakan Jabatan Penjara kini memasuki tahun ke tujuh pelaksanaannya. Mengikut rekod, jumlah keseluruhan 'Orang Di Parol' atau ODP mencecah 7,843 di seluruh negara. Bagi mengetahui keberkesanan sistem ini, mStar Online menjejak beberapa ODP untuk mengetahui kisah silam dan kehidupan baru yang dijalani bekas banduan ini selepas melalui program ini.


KAJANG: Suatu ketika itu, lebih tiga tahun beliau pernah menduduki kerusi Ketua Pegawai Operasi (COO) di sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, sebelum itu, tanggungjawab sebagai Pengurus Besar Sumber Manusia di sebuah syarikat di ibu negara turut digalas selama lima tahun.

Bagi mengetahui siapa yang dimaksudkan di atas, ikuti temubual wartawan mStar Online mengenai kisah hidup seorang daripada 28 juta rakyat Malaysia yang melalui pelbagai pengalaman manis dan pahit dalam hidup seelepas melalui proses hukuman dan mengikuti sistem parol.

Siapa sangka kini Samad (bukan nama sebenar) bergelar suri rumah sepenuh masa, meninggalkan pangkat dan kedudukan tinggi serta dunia korporat yang gah itu. Semuanya kerana Samad disabitkan bersalah akibat menerima suapan pada 2010 dan dikenakan hukuman penjara empat tahun.

Tidak pernah menyifatkan 'status' baharu itu sebagai sesuatu yang perlu dikesali, Samad bersyukur kerana diberi peluang menghabiskan baki hukuman di luar penjara dan masih mendapat sokongan isteri dan dua anak perempuannya.

"Perkara yang lepas itu, biarlah berlalu. Saya kini sudah pun kembali dengan kehidupan baharu bersama isteri dan anak-anak," katanya ketika ditemui di Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Negeri Selangor di sini, baru-baru ini.

Samad berkata, kehidupan sehariannya kini diisi dengan kerja rumah seperti mengemas, membasuh dan memasak, selain menghantar anak ke sekolah dan isteri ke tempat kerja.

"Pengisian masa saya juga turut dilakukan dengan aktiviti melibatkan pegawai parol seperti gotong-royong, sukan dan sesi motivasi. Inilah erti kehidupan buat saya selain bersama isteri dan anak-anak," tambahnya lagi.

Samad adalah antara 7,843 banduan yang diberi pelepasan perintah parol untuk menjalani baki hukuman di luar penjara di bawah pengawasan Pegawai Parol atau lebih dikenali sebagai 'Orang Di Parol' (ODP) sejak Sistem Parol diperkenalkan Jabatan Penjara  pada 2008.

Menetap di Subang Jaya, beliau diberi peluang 'bebas' lebih awal iaitu pada 2 Julai lalu menerusi sistem berkenaan kerana berkelakuan baik, sehingga tempoh hukumannya tamat pada 5 Ogos depan.

ODP
Samad (kiri), Dinesh (dua, kiri) bersama seorang lagi ODP, Ramesh (kanan) dalam sesi perbincangan bersama pegawai parol.


Menurut bapa berusia 60 tahun itu, kesalahan itu jelas menimbulkan kekesalan dalam dirinya, namun tinggal di dalam tembok besi mengajar dirinya untuk mengenali erti kehidupan yang sebenar.

"Di penjara, saya belajar dari 'zero' dan belajar apa yang saya tidak pernah tahu, malahan sistem parol ini memberi peluang saya buktikan kemampuan untuk berubah menjadi insan lebih baik," katanya.

Mengimbas kembali saat dimaklumkan akan menjalani sistem parol, timbul persepsi dalam dirinya mengenai kemungkinan akan menjadi 'sampah masyarakat' kerana pernah merengkok dalam penjara.

"Tetapi sama sekali tidak, saya diterima baik oleh keluarga dan masyarakat. Syukur Alhamdulillah.

"Bagi saya, sistem parol sesuatu yang baik kerana saya dapat bersedia menjalani kehidupan normal. Walaupun tanpa sekatan tembok besi, ia mengajar saya untuk berdisiplin," katanya.

Sementara itu, seorang lagi ODP, Dinesh (bukan nama sebenar), 26, berkata, beliau tidak mengalami sebarang kesukaran dalam menjalani kehidupan di luar penjara kerana mendapat sokongan keluarga dan masyarakat setempat.

Malah, anak kelahiran Skudai, Johor ini turut mendapat peluang bekerja sebagai pemandu peribadi dengan majikannya yang tidak pernah menganggap dirinya pesalah, sebaliknya, memberi kepercayaan kepada saya untuk berkhidmat dengannya.

"Seperti yang dikatakan pegawai parol, "Jika tiada kepercayaan, tiadalah parol". Jadi, saya perlu percayakan diri sendiri dan meyakinkan orang lain untuk mempercayai bahawa saya sudah berubah," katanya yang dipenjarakan atas kesalahan pecah rumah pada Mac 2011.

Beliau mula menjalani kehidupan sebagai ODP pada September tahun lalu dan kini menantikan tempoh hukumannya berakhir pada 18 Julai depan.

Dinesh berkata, isteri dan keluarga termasuk pegawai parol banyak menasihatinya supaya mengawal diri dan tidak terpengaruh dengan perkara yang tidak baik.


ODP, suri rumah, parol

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain