suria

Pemilihan PKR: Nik Nazmi Puji Pemuda Umno

Nik Nazmi menegaskan bahawa AMK memerlukan nafas baru dalam kepimpinannya agar komponen PKR itu terus menjadi pilihan generasi muda.
SHAH ALAM: Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad memuji gerak kerja Pergerakan Pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) khususnya dalam menjuarai isu golongan muda.

Menurut beliau AMK yang menjadi komponen penting diawal penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu kembali ke landasan asal terutama bagi melahirkan pemimpin pelapis untuk masa depan parti itu.

"Kalau disoroti kembali, hari ini kita tak seperti di awal zaman reformasi dahulu di mana pemuda PKR menjadi perintis kepada agenda politik pada waktu itu.

"Tapi hari ini, mahu tidak mahu...kita lihat Pemuda BN dan Pemuda Umno yang nampak lebih ke hadapan dalam beberapa isu," katanya menerusi temubual eksklusif bersama mStar Online di sini, Khamis.

Pada pemilihan parti itu hujung bulan ini, Nik Nazmi berhadapan saingan tiga penjuru antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, Amirudin Shari dan Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus.

Mengulas lanjut Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu menegaskan bahawa AMK memerlukan nafas baru dalam kepimpinannya agar komponen parti itu terus menjadi pilihan generasi muda.

"Kalau kita tidak berbuat apa-apa pada hari ini, mungkin dua atau tiga tahun lagi sokongan anak muda yang selama ini menjadi sandaran kepada kita...susah untuk kita dapatkan semula.

"Kita perlu bergerak ke hadapan, perlu lihat cabaran realiti semasa dan akan datang. Sebab itu kita perlukan nafas baru dalam AMK," katanya.

Bagaimanapun Nik Nazmi tidak menyalahkan kepimpinan sedia ada malah memuji usaha penyandang Ketua AMK ketika ini, Shamsul Amin Mohd Akin untuk menaikkan semula AMK ke tahap yang lebih disegani.

"Pertamanya kita kena lihat konteks semasa, saudara Ezam (Mohamad Ezam Mohd Nor, Ketua AMK pertama) meninggalkan AMK dalam keadaan yang agak teruk. Saya sendiri bersama Shamsul ketika beliau mahu membina semula AMK.

"Saya tahu ia bukan tugas mudah. Jadi jika nak letakkan beban sepenuhnya kepada pimpinan sedia ada...bagi saya tidak adil," katanya.

Nik Nazmi, AMK, Pemilihan PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain