suria

Perakuan Palsu:SPRM Tahan Bekas Pengarah Jabatan Kerajaan

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah jabatan kerajaan persekutuan di sini Rabu bersama isterinya dan seorang lagi pegawai jabatan yang sama kerana dipercayai menggunakan jawatannya untuk mendapatkan habuan dan membuat perakuan tuntutan palsu.

Menurut sumber, hasil soal siasat yang dilakukan ke atas tiga individu berkenaan, seorang kontraktor berusia 40-an turut ditahan pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes sama kerana mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu kepada kerajaan.

"Bekas pengarah dan isteri ditahan di pejabat SPRM pada Rabu ketika hadir untuk membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah daripada seorang kontraktor berhubung pembekalan barangan kepada jabatan berkenaan pada 2011.

"Seorang lagi pegawai daripada jabatan itu turut ditahan pada hari yang sama, dipercayai turut terlibat dengan kes itu kerana memperakukan dokumen yang mengandungi butiran palsu itu sebagai benar," katanya.

Keempat-empat individu berkenaan kemudian dilepaskan pada Khamis dengan jaminan setelah selesai diambil keterangan.

Sementara itu Pengarah SPRM negeri Datuk Moh Samsudin Yusof ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan kes berkenaan.

"Hal ini menunjukkan SPRM sentiasa serius dalam menjalankan siasatan berkaitan salah laku rasuah dan penyelewengan dengan tidak mengira status, kedudukan dan jawatan individu terlibat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kes itu kerana masih dalam siasatan.

Artikel Lain