suria

Lelaki Curi 14 Katrij Pencetak Bernilai RM9,500 Diberkas

Katrij pencetak.
BATU GAJAH: Sehari selepas mencuri 14 buah katrij pencetak bernilai RM9,500 dari sebuah pejabat kerajaan di sini, polis berjaya memberkas suspek itu pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Shaharon Anuar Abdul Latif berkata ketika melakukan jenayah curi itu pada kira-kira 12.48 tengah hari semalam, suspek menyamar sebagai wakil sebuah syarikat kononnya untuk mengambil katrij pencetak kosong di Pejabat Tanah dan Daerah Batu Gajah.
 
"Seorang kakitangan pejabat itu telah membawa suspek ke stor dan meninggalkannya di situ...apabila kakitangan itu pergi semula ke stor, dia mendapati suspek telah tiada dan 19 katrij pencetak bernilai RM9,500 telah hilang," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Hasil risikan dan rakaman kamera litar tertutup, suspek dan rakannya ditahan di hadapan pejabat TNB di sini pada kira-kira 3 petang dan katrij pencetak itu ditemui pada mereka, katanya.

Shaharon berkata kedua-dua suspek berusia 33 dan 34 tahun masing-masing dari Kuala Lumpur dan Puchong, Selangor itu dipercayai sedang dalam percubaan untuk melakukan perbuatan sama di pejabat lain.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel Lain