suria

Kelemahan Dalam Laporan Audit Dipastikan Tidak Berulang - MB Johor

Mohamed Khaled Nordin.
NUSAJAYA: Kerajaan negeri Johor akan melakukan penambahbaikan bagi memastikan kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 dapat diatasi dan tidak berulang.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau telah meminta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyediakan laporan berhubung perkara itu untuk diambil tindakan susulan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perpisahan untuk Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil yang bersara wajib, di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini Rabu.

Mohamed Khaled mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang antaranya mendedahkan empat syarikat yang dilantik untuk mengurus dan mengutip sewa rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) lewat menyerahkan kutipan antara dua dan 22 bulan sehingga kerajaan negeri Johor terpaksa menanggung kerugian. 

Laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat Isnin lepas, menyatakan sejumlah RM3.57 juta tunggakan bayaran balik kutipan hasil sewa rumah PPR bagi 2011 hingga April 2013 masih belum dibayar oleh syarikat swasta kepada kerajaan negeri.

Mengikut semakan audit, bagi 2011 sehingga April 2013, syarikat swasta sepatutnya membayar balik kutipan hasil sewa rumah kepada kerajaan negeri berjumlah RM9.55 juta, tetapi mereka hanya membayar balik sejumlah RM5.98 juta atau 62.6 peratus.

Mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang baharu, Mohamed Khalid berkata ia akan dilakukan dalam jangka masa terdekat dan pengumuman akan dibuat bila tiba masanya.

Sementara itu, Obet yang ditemui pemberita selepas mengetik kad perakam masa buat kali terakhir berharap penggantinya kelak dapat menyambung tugas yang belum diselesaikan dan perlu mempunyai perancangan yang baik dalam melaksanakan agenda kerajaan.

Obet, 60, memulakan perkhidmatan dalam kerajaan negeri Johor pada tahun 1979 dan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri pada 14 Mac 2011 menggantikan Datuk Abdul Latiff Yusof yang bersara wajib.

Artikel Lain