suria

Isu MB Selangor: Abdul Khalid Enggan Ulas

SHAH ALAM: Tan Sri Khalid Ibrahim enggan mengulas sama ada beliau akan kekal sebagai Menteri Besar Selangor selepas pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bakal berlangsung pada Mei depan.

"Saya tidak mahu buat spekulasi..tunggu selepas pemilihan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar akan kekal atau sebaliknya jika tewas pada pemilihan parti nanti.

Abdul Khalid berkata, beliau juga tidak berasa tergugat dengan saingan enam penjuru yang bakal dihadapinya dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

"Terpulang kepada setiap individu (untuk bertanding atau tidak). Inilah satu keistimewaan PKR, kerana dalam amalan demokrasi sesiapa sahaja yang layak boleh bertanding," katanya.

Dalam pemilihan parti kali ini,  Abdul Khalid bakal berdepan lima calon antaranya Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution; Naib Presiden, Tian Chua; Datuk K. Ramachandran dan S. Murali dan penyandang jawatan itu,  Mohamed Azmin Ali. 

Selain pemilihan, kedudukan Abdul Khalid turut menjadi tanda tanya selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Datin Seri Wan Azizah Wan yang memenangi pilihan raya kecil pada 23 mac lalu turut dikaitkan bakal menggantikan beliau selepas ini.
Selangor, PKR, Kajang

Artikel Lain