suria

Hujan Lebat Membanjiri P.Pinang

Banjir di bahagian tempat letak kereta lapangan terbang antarabangsa P.Pinang.
HUJAN di pagi hari memberi rahmat kepada kebanyakan orang tetapi  bagi mereka yang berada di lapangan terbang Pulau Pinang, ia merupakan satu kesengsaraan.

Ia bukan sahaja mengakibatkan banjir lorong di bahagian hadapan lapangan terbang, tetapi air juga membasahi balai ketibaan.

Di balai berlepas di tingkat atas, bumbung yang bocor menyebabkan hujan membasahi kawasan tersebut.

Baldi terpaksa diletakkan di bahagian lantai sebagai tindakan pantas kepada penyelesaian masalah kebocoran.

Seorang eksekutif syarikat penerbangan yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk beberapa tahun telah memberi gambaran mengenai keadaan sebenar di sana.

"Keadaan seperti ini berlaku apabila hujan lebat. Walaupun air surut selepas hujan, ini bukanlah apa yang dipanggil lapangan terbang antarabangsa.

"Berjalan keluar dari balai ketibaan untuk berdepan dengan banjir tidak wajar bagi sesebuah bangunan yang bertaraf antarabangsa.

"Bayangkan apa tanggapan pertama pelancong," kata pegawai itu yang enggan dinamakan, pada Selasa.

Lorong di bahagian ketibaan lapangan terbang turut dinaiki air.

Beliau berkata tempat letak kereta lapangan terbang itu juga dilanda banjir, dengan menyifatkannya sebagai 'kolam cetek'.

"Ia amat menyusahkan untuk pergi ke pejabat saya. Saya terpaksa meredah air dan saya pasti orang lain melihat ia sebagai sesuatu yang tidak patut berlaku. Air berada sehingga pasar betis.

"Pihak berkuasa lapangan terbang perlu melakukan sesuatu untuk membetulkan isu lapuk ini," katanya.

Hujan mula turun pada pukul 7.30 pagi dan berlarutan selama lebih dua jam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Utiliti, Kerja Raya Pulau Pinang Lim Hock Seng berkata hujan yang turun berukuran 62.6mm dan berlanjutan sehingga selepas jam 9.30 pagi.

"Paras air di lorong teksi adalah kira-kira 15cm manakala paras air  di dalam balai ketibaan kira-kira 1.2cm," katanya.

Beliau berkata lapangan terbang itu mempunyai lapan pam air, yang sedikit sebanyak memperbaiki keadaan berbanding empat pam pada tahun lepas.

Pada November tahun lepas, lapangan terbang mengalami keadaan yang lebih buruk walaupun ukuran hujan adalah kurang.

Pihak berkuasa lapangan terbang tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Jalan raya berlopak yang dipenuhi air membahayakan kenderaan yang lalu-lalang di Jalan Burma.

Hujan juga menyebabkan beribu-ribu orang lewat sampai ke tempat kerja kerana mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di pelbagai bahagian negeri ini.

Kesesakan lalu lintas yang teruk berlaku di Jalan Air Itam berhampiran pasar Air Itam, Jalan Teluk Kumbar, Jalan Burma, Jalan Masjid Negeri dan di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas di mana pemilik kenderaan terperangkap dalam kesesakan sehingga jam 10 pagi.

Ramalan cuaca di laman web Jabatan Meteorologi menunjukkan bahawa hujan akan turun pada hari ini dan esok.

Bagi pihak berkuasa air, kedatangan hujan amat dialu-alukan kerana bukan sahaja Pulau Pinang, tetapi juga bahagian lain di negara ini, telah mengalami cuaca panas dan kering yang luar biasa panjang.

banjir, Pulau Pinang, Lim Hock Seng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain