suria

Ahli Perniagaan Dipenjara 12 Bulan, Denda RM20,000 Kerana Guna Dokumen Palsu

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dipenjara 12 bulan dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menggunakan dokumen palsu berhubung pendaftaran Harta Intelek dan pertukaran nama kenderaan, empat tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu terhadap Muhammad Kin Eezaz Abdullah, 44, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua yang dihadapi Muhammad dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dan jika gagal membayar denda itu tertuduh boleh dipenjara empat bulan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga rayuan selesai.

Terdahulu peguam Haniff Khatri Abdullah yang mewakili tertuduh hanya memohon hukuman denda dikenakan terhadap anak guamnya kerana Muhammad menghidap kencing manis dan darah tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Aida Mastura Mohamed Aman pula berhujah hukuman denda tidak memberikan pengajaran kepada tertuduh dan dalam kes itu tertuduh bertindak menggunakan dua dokumen palsu dan menyerahkan kepada institusi jabatan kerajaan.

Bagi pertuduhan pertama Muhammad didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu 'Surat Permohonan meluluskan Proses Permohonan Pendaftaran Harta Intelek' untuk tujuan kelulusan dan mempercepatkan proses permohonannya bagi mendaftar harta itu.

Bagi pertuduhan kedua Muhammad didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu 'Surat Permohonan Melanjutkan Pendaftaran Nombor Kenderaan dan Pertukaran Nama' untuk tujuan perlanjutan tempoh masa pendaftaran empat nombor kenderaan dan pertukaran nama ke atas keempat-empat kenderaan itu dari Low Wai Kin ke Muhammad Kin Eezaz Abdullah Tengku Ampuan Bahriya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Aras 32, Menara Daya Bumi, Jalan Sultan Hishamuddin di sini dan di bahagian Perlesenan Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan, Aras 2, Blok D4, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 5 Mei hingga 7 Jun 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pada 2 Mei 2012, Muhammad dilepas dan dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Rozana Ali Yusoff daripada pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri.

Pendakwaan kemudiannya merayu ke Mahkamah Tinggi berhubung keputusan itu.

Pada 4 Sept tahun lepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan Muhammad membela diri.

Artikel Lain