suria

SPM 2013: 13,970 Calon Peroleh Gred A Semua Mata Pelajaran

Dr Khair Mohamad menunjukkan laporan pengumuman analisis keputusan SPM 2013 pada sidang media pengumuman keputusan itu di Kementerian Pendidikan, Putrajaya, Khamis. - fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Sebanyak 13,970 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas memperoleh gred A (Cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 13,720 calon pada 2012, iaitu peningkatan sebanyak 0.05 peratus.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata terdapat peningkatan jumlah calon yang mendapat semua A daripada sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu sebanyak 11,892 calon berbanding 11,648 calon tahun sebelumnya.

"Bagi calon bukan KPM yang memperoleh semua A adalah sebanyak 2,078 untuk semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 2,072 calon pada 2012," katanya semasa mengumumkan Analisis Keputusan SPM 2013 di sini, Khamis.

Daripada jumlah itu, Khair berkata sebanyak 405 calon iaitu 366 calon sekolah KPM dan selebihnya calon bukan KPM berjaya memperoleh gred A+ (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Beliau berkata jumlah keseluruhan calon yang menduduki SPM tahun lepas adalah sebanyak 442,588.

Khair berkata 883 daripada keseluruhan calon yang menduduki SPM adalah calon berkeperluan khas sama ada buta, pekak dan mengalami kecacatan lain.

Beliau berkata lapan daripadanya mendapat sekurang-kurangnya gred A- (Cemerlang) dalam semua mata pelajaran diduduki, sekaligus menunjukkan semua calon tanpa mengira kekurangan, berpeluang untuk cemerlang dalam SPM.

Secara keseluruhan, pencapaian calon dalam SPM 2013 amat membanggakan berdasarkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) berbanding tahun-tahun sebelumnya, katanya.

"Pencapaian keseluruhan calon SPM 2013 bertambah baik dengan nilai GPN 4.93 mata berbanding 5.08 mata pada 2012, iaitu peningkatan sebanyak 0.15 mata.Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik," jelas beliau.

Khair berkata berdasarkan GPN juga, calon bandar menunjukkan peningkatan 0.15 peratus mata iaitu daripada 4.83 mata pada 2012 kepada 4.68 mata tahun lepas, manakala calon luar bandar turut meningkat sebanyak 0.16 mata daripada 5.44 mata (2012) kepada 5.28 mata pada 2013.

Berdasarkan keputusan SPM 2013, Khair berkata enam daripada tujuh mata pelajaran teras meningkat iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah dan Sains, kecuali Matematik menurun sebanyak 0.08 mata daripada Gred Purata Mata Pelajaran 4.91 mata pada 2012 kepada 4.99 mata pada 2013.

Bagi mata pelajaran elektif, 55 daripada 101 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi antaranya untuk elektif Sains seperti Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Sains Tambahan dan Sains Gunaan.

Katanya mulai tahun lepas, selain mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah turut dijadikan mata pelajaran wajib lulus untuk calon layak mendapat sijil SPM.



SPM 2013, Dr Khair Mohamad Yusof, KPM

Artikel Sebelum

Artikel Lain