suria

MH370: Pesawat, Kapal Dihantar Kenal Pasti Objek Di Selatan Lautan Hindi

SEPANG: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Khamis berkata pesawat dan kapal telah dihantar untuk mengesahkan maklumat mengenai pengesanan kemungkinan objek yang ada kaitannya dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Bercakap kepada pemberita sebelum mengadakan pertemuan dengan delegasi Australia di Hotel Sama-Sama di sini, Hishammuddin berkata maklumat itu memberi penunjuk baharu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu yang masuk hari ke-13 pada Khamis.

"Seperti yang telah saya lakukan dari hari pertama, kita akan mengikuti setiap petunjuk baharu. Marilah kita berharap ini adalah perkembangan positif," katanya, dan menambah kata adalah terlalu awal untuk mengesahkan lokasi objek itu ditemui.

Ditanya apakah jenis objek yang ditemui dan berapa lama akan mengambil masa untuk mengesahkannya, Hishammuddin berkata: "Kami tidak tahu. Pesawat dan kapal telah dihantar.

"(Ia) seperti yang kami lakukan dengan penemuan imej dari satelit China dan lain-lain objek yang memberi penunjuk awal. Kita menggunakan kaedah sama," katanya. 

Hishammuddin enggan mendedahkan apakah maklumat yang disampaikan oleh kerajaan Australia pada Khamis.

Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra pada Khamis bahawa imej satelit telah menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan kepada pesawat Malaysia yang hilang pada 8 Mac, menurut agensi berita Reuters.

Agensi berita itu memetik Abbot sebagai berkata dalam ucapannya di Parlimen "bahawa maklumat baharu dan kredibel telah diperoleh berhubung misi mencari ... di selatan Lautan Hindi."

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam sebelumnya. Ia dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.
 

Artikel Lain