suria

Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama Dihentikan Sementara

KUALA LUMPUR: Pelan catuan bekalan air peringkat pertama dihentikan sementara berikutan dua loji rawatan air di Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi beroperasi semula Rabu.

Namun, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menyatakan ia masih memantau kandungan amonia di Sungai Langat, yang jika bahan kimia itu mula berubah ke tahap bahaya, ia akan melakukan semula catuan air peringkat pertama.

"Pada masa ini, loji-loji rawatan air akan beroperasi mengikut keadaan kualiti sumber air mentah bagi membolehkan bekalan disalurkan ke kawasan-kawasan yang dicatu di wilayah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

"Dengan itu, kawasan yang dijadualkan dicatu bekalan air akan menerima bekalan air untuk sementara waktu semasa kedua-dua loji rawatan air itu beroperasi," kata Syabas dalam kenyataan di sini, Khamis.

Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama, ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi akibat peningkatan kandungan ammonia dalam Sungai Langat, melibatkan 71 kawasan dengan 60,185 pintu rumah bermula pada 27 Februari lepas.

Sementara itu, pelan catuan bekalan air peringkat ketiga masih diteruskan walaupun hujan di beberapa kawasan sejak beberapa hari lepas.

Syabas menyatakan pelan catuan bekalan air peringkat ketiga akan diteruskan sehingga pindaan atau arahan diterima daripada kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Syabas, SPAN, catuan air

Artikel Lain