suria

Mengesahkan Objek Dikesan Satelit Australia Boleh Mengambil Masa Sehingga 48 Jam

Pencarian di Lautan Hindi kini memberi tumpuan kepada lokasi di mana satelit Australia mengesan imej dipercayai mempunyai kaitan dengan MH370 yang hilang. -foto EPA
SINGAPURA: Untuk mengesahkan bahawa objek yang dikesan satelit Australia yang terletak 2,500 kilometer dari barat daya Perth pada Khamis adalah serpihan pesawat MH370 yang hilang boleh mengambil masa sehingga 48 jam, kata seorang pakar.

Michael Daniel, pegawai rasmi Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat yang telah bersara memberitahu The Straits Times: "Jika mereka mempunyai perasaan yang kuat atau petunjuk bahawa serpihan itu adalah milik pesawat, salah satu perkara pertama yang pihak berkuasa akan lakukan adalah menurunkan pelampung sonar di dalam air.


"Jika kotak hitam berada di sana, pelampung akan dapat mengambil isyarat daripadanya. Ini boleh mengambil masa sehingga 48 jam tetapi ia semua bergantung kepada berapa jauh jarak kapal dan aset-aset lain."

Pelampung sonar adalah alat yang dilengkapi penerima akustik dan pemancar radio yang memancarkan isyarat radio apabila ia mengesan bunyi di dalam air.

Bateri di dalam kotak hitam biasanya mampu bertahan selama 30 hari.

Pihak berkuasa Australia pada Khamis berkata terdapat kemungkinan mereka ternampak serpihan milik MH370 yang kini telah hilang selama 13 hari.

Dua objek telah dikesan dengan yang pertama berukuran 24 meter, ditemui terapung di Lautan Hindi, kata pegawai Australia.

Australia telah menghantar empat pesawat dalam usaha pencarian, termasuk sebuah kapal Amerika Syarikat dan New Zealand dan dua kapal ke kawasan di mana serpihan itu dikesan, manakala sebuah kapal perdagangan juga telah diminta untuk pergi ke sana.

Ia mengambil masa selama empat jam untuk pesawat terbang keluar dari pangkalan di Perth untuk tiba lokasi. -The Straits Times / ANN

Artikel Lain