suria

PM Australia Sudah Maklumkan Najib Kesan Dua Objek

Najib Tun Razak.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Australia Tony Abbot menelefon Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 10 pagi Khamis untuk memberitahu beliau mengenai pengesanan kemungkinan objek yang ada kaitannya dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan di sini Khamis berkata Abbot telah memaklumkan kepada Najib bahawa 'dua objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat MH370 telah dikenal pasti di selatan Lautan Hindi."

Beliau berkata Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia Rod Smith juga telah memberikan penerangan kepada beliau mengenai situasi ini.

"Pada peringkat ini, para pegawai Australia masih belum memastikan sama ada objek-objek itu benar-benar ada kaitan dengan pencarian MH370," katanya.

Terdahulu Abbott berkata di Canberra bahawa imej satelit telah menunjukkan dua objek yang mungkin ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines yang hilang pada 8 Mac , menurut agensi berita Reuters.

Agensi berita itu memetik Abbot sebagai berkata "Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah menerima maklumat berasaskan imej satelit mengenai objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian itu."

Penerbangan Malaysia Airlines MH370, dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam sebelumnya. 

Pesawat itu dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Pengumuman pada Khamis di Australia bersamaan hari ke-13 misi mencari pesawat itu, menggabungkan kerjasama pelbagai negara, yang berpandukan data satelit telah mengalih operasi dari kawasan pencarian asal di Laut China Selatan ke Lautan Hindi.

Kawasan pencarian telah diperbesar meliputi bahagian luas di sebelah barat Malaysia termasuk Lautan Hindi apabila diketahui bahawa pesawat itu telah terbang selama tujuh jam selepas hilang dari radar.

Operasi mencari itu kemudian memberi tumpuan kepada dua koridor, menjangkaui dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.


Najib, Tony Abbott, MH370, MAS, KLIA, Lautan Hindi

Artikel Lain