suria

Analisis PRK Kajang: 'Langkah Kajang' Tempang Apabila MH370 Curi Tumpuan

Nasib kedua-dua calon iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan ditentukan pengundi pada Ahad ini.

SEGALANYA berlaku diluar jangkaan dan perancangan awal. Percaturan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mencuri tumpuan umum seolah-olah seperti tidak menjadi.

Tempoh kempen yang memasuki fasa kedua sebelum hari membuang undi yang akan berlangsung pada Ahad ini kelihatan suram malah tidak keterlaluan jika dikatakan kurang mendapat sambutan.

Rata-rata tumpuan lebih terarah kepada insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Walaupun penduduk Kajang sepatutnya diserang 'demam pilihan raya', namun jelas kelihatan apabila mereka lebih berminat untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai misteri kehilangan MH370.

Di kedai-kedai makan, restoran, pasar raya atau di mana sahaja lokasi tumpuan umum, pastinya siaran berita dan laporan khas di kaca televisyen mengenai MH370 yang menjadi pilihan.

Tidak ketinggalan apabila petugas media yang berkampung di Kajang sejak hari penamaan calon 11 Mac lalu turut dijadikan sumber rujukan penduduk tempatan yang berminat mengetahui mengenai perkembangan terkini MH370.

Pada pandangan mereka, wartawan pastinya mempunyai lebih banyak maklumat terkini yang mungkin tidak dilaporkan kepada umum berhubung kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal itu.

Apa yang pasti mereka lebih berminat untuk mendapatkan 'cerita eksklusif' MH370 daripada para wartawan berbanding isu-isu tempatan yang dibangkitkan dalam kempen pilihan raya DUN Kajang.


Calon Agresif

Sungguhpun tumpuan pengundi sudah tersimpang, namun ia tidak mematahkan semangat kedua-dua calon yang bertanding untuk terus mendekati pengundi dan meraih undi.

Baik di pihak Barisan Nasional (BN) mahupun PKR, masing-masing menggunakan tempoh berkempen dengan sebaik mungkin sehingga ia berakhir tepat pukul 12 tengah malam Sabtu ini.

Sejak seminggu lalu, di mana-mana sahaja, penduduk Kajang akan terserempak dengan Datin Paduka Chew Mei Fun bersama jentera BN dan tidak ketinggalan kemunculan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di lokasi tumpuan umum bersama jentera PKR.

Tidak dinafikan Wan Azizah dan Chew masing-masing sibuk menggunakan kesempatan yang ada untuk melakukan sentuhan peribadi termasuk kunjungan dari rumah ke rumah di sekitar Kajang.

Kedua-duanya turut mengakui dan memahami mengenai tumpuan rakyat termasuk pengundi Kajang buat masa ini yang berkongsi kesedihan mengenai kehilangan MH370.

Berbanding Chew, Wan Azizah yang juga presiden PKR dilihat lebih terkesan apabila misteri MH370 turut cuba dikaitkan dengan parti itu khususnya pertalian kekeluargaan dengan juruterbang pesawat, Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Wan Azizah dan suminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing sudah mengakui bahawa Zaharie mempunyai hubungan kekeluargaan dengan menantu mereka.

Pengakuan itu dibuat selepas beberapa hari ahkbar luar negara, terutamanya The Mail melaporkan bahawa Zaharie merupakan penyokong kuat Anwar yang juga ketua pembangkang.

Menurut laporan tersebut, beberapa jam sebelum penerbangan itu meninggalkan Kuala Lumpur, Zaharie, 53, telah menghadiri kes perbicaraan Anwar di mana pemimpin itu dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.

Walaupun pada mulanya Wan Azizah dan Anwar cuba menyembunyikan fakta tersebut, namun hasil pemerhatian di peringkat akar umbi boleh disimpulkan bahawa ia tidak menjadi isu besar untuk PKR meneruskan 'langkah Kajang' yang direncanakan mereka.

Dari aspek ini, gesaan banyak pihak termasuk pemimpin negara dan parti politik agar isu kehilangan MH370 tidak dipolitikkan juga dilihat membuahkan hasil.

Malah dikalangan pengundi termasuk yang cenderung menyokong BN, mereka yakin kaitan kekeluargaan antara Anwar dan Zaharie hanyalah kebetulan yang tidak seharusnya dipolitikkan.

Kematangan berpolitik seperti ini seharusnya diberi pujian kerana kehilangan MH370 tidak dijadikan senjata oleh mana-mana pihak untuk kepentingan politik mereka.

Namun apa yang pasti, 'langkah Kajang' dilihat tempang apabila klimaks politik yang diharapkan PKR terbantut atas dua insiden yang diluar jangkaan.

Pertama matlamat awal pengosongan kerusi DUN Kajang dengan sengaja tanpa sebab untuk memberi laluan kepada Anwar menyertai DUN Selangor gagal setelah Mahkamah Rayuan mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan dihukum penjara lima tahun.

Akibatnya walaupun hukuman penjara itu masih lagi ditangguhkan sementara menunggu kes ini diangkat ke Mahkamah Persekutuan tetapi hakikatnya hasrat Anwar untuk bertanding dan seterusnya jika menang dinobatkan sebagai menteri besar Selangor yang baru kini telah terkubur buat selama-lamanya.

Kedua, sebaik sahaja Anwar terpaksa digugurkan sebagai calon Kajang, tempatnya diganti oleh Wan Azizah tetapi apabila pencalonan bermula, kempen PRK Kajang tenggelam ekoran kehilangan MH370.

Kini PKR terpaksa menukar strategi sekali lagi apabila 'langkah Kajang' terpaksa diteruskan dengan matlamat baru iaitu untuk dijadikan referendum mengenai keadilan untuk Anwar terhadap keputusan mahkamah yang didakwa tidak adil.

Walau apa sekali pun, Ahad ini penentukan bagi DUN Kajang akan terjawab tetapi penentuan di manakah hilangnya MH370 masih belum ada tanda noktahnya.

PKR, BN, Kajang

Artikel Lain