suria

Kehilangan MH370: Malaysia Bukan Hab Pengganas - Hishammuddin

Hishammuddin pada sidang media mengenai pesawat MH370 di Sepang, Selasa. Foto MOHD SAHAR MISNI / THE STAR
SEPANG: Malaysia bukan hab keganasan, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Mengenai Malaysia menjadi hab keganasan, saya mendengar dakwaan itu semasa saya menjadi Menteri Dalam Negeri selama lima tahun, tetapi adalah amat sukar untuk menghubungkannya dengan peristiwa yang berlaku hari ini.

"Saya dengan tegas menafikan dakwaan itu," kata Hishamuddin ketika menjawab soalan pada sidang media di Hotel Sama-Sama di sini, Selasa.

Dakwaan mengenai keganasan timbul sejak pesawat Boeing 777 hilang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 8 Mac lalu.

Dakwaan itu semakin memuncak apabila timbul maklumat mengenai dua rakyat Iran menaiki penerbangan, di mana masing-masing menggunakan pasport curi warga Austria dan pasport curi warga Itali.

Ini diikuti dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak pada Sabtu lalu bahawa seseorang sengaja mematikan komunikasi pesawat sebelum ia menyimpang dari laluan penerbangannya dan menyeberangi Semenanjung Malaysia sebelum kemudiannya hilang dari radar utama Malaysia.

Ketika ditanya mengenai lima landasan pendaratan didapati di simulator penerbangan yang dibina oleh juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, Hishamuddin enggan mengulas mengenai perkara itu namun mengatakan bahawa isu itu disiasat oleh pihak polis dan ia Ketua Polis Negara yang akan mengulas perkara tersebut.

Dilaporkan bahawa sumber memberitahu Berita Harian bahawa terdapat jalur lima landasaan di sekitar Lautan Hindi yang diprogramkan dalam simulator penerbangan Boeing 777 milik Zaharie, yang diambil dari rumahnya minggu lalu dan dipasang semula di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Lima landasan pesawat itu termasuk pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat di Diego Garcia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives.

Artikel Lain