suria

Iran Sedia Bantu Malaysia Cari MH370 Jika Diminta - Duta

Mohammad Jalal Firouznia.

KUALA LUMPUR: Iran sedia memberi sebarang bentuk bantuan kepada Malaysia dalam usaha mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang, jika diminta, kata Dutanya ke Malaysia Mohammad Jalal Firouznia.

"Perkara paling penting ialah Iran berdiri di sebelah Malaysia. Kami sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk melakukan apa yang terdaya," katanya dalam temu bual dengan Bernama, di sini Jumaat.

Katanya, beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan berbincang tentang insiden dari segi umum dan politik, serta menyatakan kesediaan Iran bertukar maklumat termasuk mengenai dua warganya yang menaiki pesawat itu menggunakan pasport curi.

Duta itu berkata, dua lelaki Iran yang dikenal pasti sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan  Delavar Syed Mohammad Reza, 29, meninggalkan Iran pada 22 Februari menggunakan pasport negara itu.

Katanya, kedua-dua mereka memperoleh visa daripada Kedutaan Malaysia di Tehran dan mereka tiba di negara ini menerusi penerbangan dari Doha, Qatar.

"Isu-isu lain seperti pasport Austria dan juga tiket ke China serta lain-lain disediakan untuknya di Malaysia. Perkara sama juga berlaku pada Delavar Syed Mohammad Reza," katanya.

Katanya, beliau sedang menunggu sebarang maklumat daripada kerajaan Malaysia dan pihak berkuas lain termasuk Interpol berhubung kedua-dua warga Iran itu.

Media melaporkan Pouria menggunakan pasport Austria untuk ke Jerman bagi bertemu ibunya, dan Delavar Syed Mohammed pula menggunakan pasport Itali yang dilapor dicuri, manakala tiket penerbangan mereka dibeli dari sebuah agensi pelancongan di Thailand.

Duta itu berkata Kementerian Luar Iran di Tehran berhubung dengan bapa Pouria yang datang ke kementerian berkenaan bagi memaklumkan anaknya menaiki penerbangan MH370 tersebut.

Bagi Delavar Syed Mohammed pula, beliau berkata, setakat ini belum ada sesiapa tampil ke kementerian berhubung lelaki itu.

"Tiada sesiapa datang ke kementerian atau pihak berkuasa Iran yang lain untuk membuat penjelasan. Bagaimanapun kami masih menyiasat," katanya.

Mengenai pertemuannya dengan Hamzah, beliau menyampaikan rasa simpati Iran dan rakyatnya kepada keluarga penumpang serta kru pesawat Boeing 777-200 yang hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lepas.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Operasi besar-besaran membabitkan 57 kapal dan 48 pesawat dari 13 negara antaranya Singapura, Vietnam, Amerika Syarikat, China, Thailand, Jepun, India dan Australia sehingga kini masih gagal mengesan pesawat berkenaan.  

Artikel Lain