suria

Proses Pembenihan Awan Dilakukan Esok

Che Gayah Ismail.
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi akan melaksanakan pembenihan awan mulai Selasa bagi mengatasi masalah jerebu dan kebakaran terbuka.

Ketua Pengarahnya Datuk Che Gayah Ismail berkata ia akan dilakukan di kawasan yang mempunyai awan paling sesuai di Kedah, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

"Setakat ini kami hanya berjaya menjalankan dua operasi pembenihan awan, iaitu pada 3 dan 4 Mac. Pada Ahad dan hari ini (Isnin) sepatutnya kami melaksanakan lagi operasi.

"Tetapi kami tangguhkan disebabkan kapal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang digunakan terpaksa digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang," katanya.

Che Gayah berkata dalam tempoh 24 jam bermula pada Ahad sehingga pagi Isnin, terdapat 545 kebakaran kecil di seluruh negara, dengan jumlah tertinggi direkodkan di Johor (95), Kedah (74), Perak (68), Selangor (67), Melaka (51) dan Pulau Pinang (44).


Che Gayah berkata jumlah titik panas juga meningkat dengan mendadak pada Ahad, iaitu 110 berbanding 18 hari sebelumnya.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 4 petang pula menunjukkan lima kawasan mencatat bacaan tidak sihat dengan bacaan tertinggi di Pelabuhan Klang (136).

Kawasan lain ialah Banting (116), Nilai (111), Putrajaya (107) dan Seremban (104).

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Operasi dan Kawal Selia, Lembaga Pelabuhan Klang, Kapten K. Subramanian, ketika dihubungi Bernama memaklumkan operasi di kawasan itu masih lancar walaupun sedikit terganggu pada sebelah pagi.

"Jarak penglihatan bertambah baik pada sebelah petang iaitu lebih satu batu nautika, berbanding 0.5 batu nautika pada sebelah pagi," katanya.

Beliau berkata kapal dan bot kecil tidak dibenarkan bergerak di kawasan pelabuhan sekiranya jarak penglihatan kurang daripada satu batu nautika. 
Jabatan Meteorologi, jerebu

Artikel Lain