suria

Pengarah MAS Frankfurt Nafi Khabar Angin Khidmat Ke Frankfurt Dihentikan

Frankfurt, Jerman
BERLIN: Pengarah Malaysia Airlines (MAS) berpangkalan di Frankfurt David Raj menafikan khabar angin bahawa MAS tidak akan meneruskan khidmat penerbangan lima kali seminggu ke Frankfurt, sambil menyatakan bahawa khabar angin itu sebagai 'tidak berasas' dan 'tidak benar'.

Beliau berkata khabar angin ini menjadi lebih panas berikutan pengumuman syarikat penerbangan itu baru-baru ini untuk menghentikan penerbangan ke Los Angeles.

"Pengarah urusan kami, Ahmad Jauhari Yahya jelas menyatakan baru-baru ini bahawa tidak akan ada laluan antarabangsa dikurangkan tahun ini selepas Los Angeles," kata Raj dalam satu temu bual dengan Bernama di Bursa Pelancongan Antarabangsa (ITB) di Berlin, yang mempunyai penyertaan berprofil tinggi oleh pengusaha pelancongan, hotel dan mereka yang berkaitan dengan industri itu.

Raj berkata Frankfurt bukan berada dalam radar bagi mana-mana pengurangan laluan.

"Ia tidak benar dan tidak tepat bagi elemen tertentu untuk menunjukkan bahawa MAS menghentikan laluan Frankfurt," tegas Raj.

Ditanya mengenai pemberhentian ke destinasi lain terutama ke Amerika Utara, Raj menegaskan bahawa keanggotaan MAS dalam perikatan OneWorld, yang ditubuhkan sejak 1 Feb, 2012 menyebabkan pertumbuhan kira-kira 84 peratus dalam aliran penumpang syarikat melalui perkongsian dalam perikatan itu.

Keanggotaan ini, katanya, membawa manfaat kepada syarikat penerbangan itu.

"Sesungguhnya, kami telah melancarkan penerbangan ke destinasi-destinasi baharu seperti Darwin (Australia), Krabi (Thailand) dan Cochin (India). 

"Ini sebenarnya tanda-tanda pembesaran, kerana keanggotaan OneWorld kami, kami memasuki pengaturan perkongsian kod dengan Amerika Syarikat yang membolehkan kita mencapai 136 destinasi di Amerika Syarikat sahaja.

Katanya selain American Airlines, rakan-rakan OneWorld yang lain bagi MAS ialah Air Berlin, British Airways dan FinnAir dan lain-lain.

"Walaupun ketidakhadiran kami secara fizikal daripada pasaran tertentu, perkongsian OneWorld amat membantu kami," katanya.

Raj juga menyentuh pemodenan kumpulan pesawat MAS dengan generasi pesawat lama beransur-ansur digantikan dengan pesawat versi baharu.

Kumpulan 148 pesawat yang ada pada masa ini merupakan gabungan versi Boeing dan Airbus. Syarikat penerbangan itu telah menerima enam pesawat A380. 

Pada 2013 sahaja, MAS menerima 21 pesawat baharu (gabungan Boeing dan Airbus).

Purata umur pesawat syarikat itu akhir tahun lepas ialah 6.6 tahun dan seperti apa yang dikatakan Raj, "kami mahu membawanya kepada 5.5 tahun menjelang 2014" di bawah program pembaharuan kumpulan pesawatnya.

MAS merancang menggantikan semua pesawat B-777, dan ia akan dilakukan antara 2015 dan 2018.

"Pemodenan kumpulan pesawat ini bertujuan bagi mengekalkan dan mengembangkan laluan antarabangsa kami.

Sementara itu, rasa sedih menyelubungi sesetengah rakyat Malaysia dan peserta dari China di pameran Berlin apabila berita tersebar mengenai kehilangan pesawat MAS B777-200 semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. 

China juga mempunyai pavilion nasional di dewan bersebelahan dengan Pavilion Malaysia di pameran itu.

mas, frankfurt, jerman

Artikel Lain