suria

Agong Seru Elak Cetus Provokasi

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Ke-13 pada Isnin. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru semua pihak agar mengelak daripada mencetuskan provokasi termasuk menyentuh mengenai sensitiviti mana-mana pihak.

Tegas Seri Paduka, tindakan tegas mesti diambil ke atas anasir jahat yang cuba menyebarkan pemikiran dan tindak-tanduk yang bertujuan meruntuhkan nilai-nilai serta keluhuran Perlembagaan negara.

"Semua pihak perlu sedar akan peri pentingnya perpaduan dengan kembali kepada landasan sebenar asas-asas penubuhan negara ini seperti yang dihasratkan pemimpin terdahulu.

"Ingatlah, apabila terurainya perpaduan, negara akan menuju kehancuran. Justeru, kita hendaklah mengukuhkan perpaduan dengan memupuk perasaan hormat menghormati dan kesederhanaan dalam menjalani kehidupan," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-13 di sini, Isnin.

Selain itu Tuanku Abdul Halim turut menyeru pihak berkuasa agama supaya menangani segera penyebaran ajaran sesat di kalangan umat Islam di negara ini.

Titah Seri paduka, Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan perlu terus dimartabatkan.

"Kecelaruan pemikiran ummah dan ancaman akidah misalnya fahaman pluralisme serta penyebaran ajaran sesat, hendaklah ditangani pihak berkuasa agama selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di kalangan umat Islam di negara ini, demi mengelakkan perpecahan ummah," titah baginda.

Artikel Sebelum

Artikel Lain