suria

Empat Pihak Dikenal Pasti Penyumbang Pencemaran Sungai Batu Ferringhi

Keadaan air laut di persisiran pantai Batu Ferringhi yang dicemari bakteria E-Coli (Escherichia coli) berhampiran muara Sungai Batu Feringghi di George Town.

GEORGE TOWN: Empat pihak telah dikenal pasti sebagai penyumbang pencemaran air sungai dan laut di pantai Batu Ferringhi di sini, awal bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata, punca itu dikenal pasti hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar negeri dan dimaklumkan dalam mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang pada 28 Februari lepas.

Beliau berkata dalam taklimat itu, JAS turut memaklumkan bahawa ada kertas siasatan terhadap pihak terbabit yang telah siap dan diserahkan kepada pegawai undang-undang JAS persekutuan untuk tindakan lanjut.

"Kertas siasatan ini dibuat berdasarkan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009. Sebarang tindakan lanjutan tertakluk kepada keputusan pegawai undang-undang JAS persekutuan," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin, yang turut dihadiri pegawai JAS negeri.

Chow berkata, pihaknya juga sedang menunggu laporan daripada pasukan petugas yang dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk pelan tindakan yang lebih komprehensif bagi mengawal pencemaran air sungai dan laut di kawasan itu.

Menurut Chow, Jabatan Kerajaan Tempatan di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menghantar surat kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Status Pengoperasian Sistem Pembentungan dan Kejadian Pencemaran Pantai Batu Ferringhi pada Khamis.

Pencemaran air di Batu Ferringhi yang dilaporkan media sejak 3 Februari lepas mendapat perhatian umum memandangkan kawasan itu popular sebagai destinasipelancongan.

Sehubungan itu, pelbagai siri ujian dijalankan oleh pihak terlibat untuk menentukan punca sebenar pencemaran itu.

batu ferringhi, chow kon yeow

Artikel Lain