suria

Nazri Bidas Desakan Waythamoorthy Supaya PM Letak Jawatan

Mohamed Nazri Abdul Aziz.
PADANG RENGAS: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada Sabtu menempelak Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf), P. Waythamoorthy yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan konon kerana gagal menunaikan janji membantu kaum India.

"Dia nak letak jawatan dia punya pasallah, sibuk nak suruh PM (Perdana Menteri) letak jawatan pasal apa," katanya kepada pemberita di sini ketika diminta mengulas kenyataan Waytha Moorthy baru-baru ini.

Waytha Moorthy yang meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 10 Februari lepas, dilapor mendakwa berbuat demikian kerana kecewa kerajaan tidak menunaikan janji yang dibuat dengan Hindraf sebelum pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lepas.

Dalam satu sidang media, pemimpin Hindraf itu juga dilapor mendesak Najib mengambil langkah serupa kerana katanya Perdana Menteri gagal menunaikan janji untuk membantu kaum India.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata Waytha Moorthy jelas tidak faham mengenai sistem pentadbiran negara.    

"Kalau kita ada bajet tak semestinya menerusi dia, dia tidak faham tentang pentadbiran kerajaan, mana boleh bagi bajet RM700 juta letak dalam satu akaun lepas itu dia yang belanjakan, nampak dia punya naif.

"Kita belanja untuk masyarakat India bukan menerusi satu sumber, kita ada banyak kementerian sebagai contoh Tekun, sudah tentu tekun saluran wangnya menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya lagi. 

Mengulas isu berbeza, Mohamed Nazri menyifatkan pemilihan Naib Presiden MCA
Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya
kecil Dewan Undangan Negeri Kajang sebagai pilihan tepat.

Ini kerana katanya Chew seorang yang berwibawa dan rajin bekerja. 

"Saya akan turun berkempen bersama-sama MCA dan akan berada di sana setiap hari," katanya.

Pilihan raya kecil itu yang dijadualkan 23 Mac dengan penamaan calon pada 11 Mac dijangka menyaksikan pertembungan antara Chew, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan (Kita), Datuk Mohd
Zaid Ibrahim.  

Mengenai mesyuarat agung luar biasa MCA esok, Mohamed Nazri berkata, beliau berharap parti komponen BN itu akan membuat keputusan bijak berhubung kedudukan
mereka dalam kerajaan. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain