suria

Pemimpin PAS Mazlan Aliman Tidak Dibenar Masuk Sarawak

Mazlan Aliman.

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman didakwa sekali lagi tidak dibenarkan memasuki Sarawak pada Sabtu.


Menurut kenyataan beliau di Facebook, Mazlan mendakwa arahan itu daripada kerajaan negeri Sarawak.

"Saya telah ditahan oleh pegawai Imigresen apabila tiba di Lapangan Terbang Sibu pada pukul 11.25 pagi.

"Pegawai Imigresen berkata kerajaan Sarawak tidak benarkan saya," katanya.

Mazlan berkata, beliau percaya bahawa larangan kemasukan itu mempunyai kaitan dengan himpunan Sarawak mengenai tuntutan hak tanah yang akan dilaksanakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Beting Maro pada Ahad.

Mazlan turut menyiarkan gambar, yang kelihatan seperti surat rasmi daripada Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Sibu, yang menunjukkan sebab di sebalik larangan itu atas "sebab-sebab keselamatan".

"Baru mendarat di Lapangan Terbang Senai pada pukul 2.05 petang selepas diusir keluar dari Sarawak.. saya telah diklasifikasikan sebagai pengganas!" katanya.

Pada 6 Julai 2011, Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), tidak dibenarkan masuk ke Sarawak sebaik sahaja beliau mendarat di Lapangan Terbang Miri.

Artikel Berikut

Artikel Lain