suria

Mahkamah Beri Kebenaran Kepada Merong Mahawangsa Buat Rayuan Bayar Komisen

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa membenarkan Merong Mahawangsa Sdn Bhd dan pengarah eksekutifnya untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan supaya membayar RM20 juta kepada ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah sebagai komisen untuk khidmatnya dalam pemerolehan projek 'jambatan bengkok' di Johor Baharu.

Hakim Besar Sabah and Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang mempengerusikan panel lima hakim dengan sebulat suara membenarkan permohonan bagi kebenaran untuk membuat rayuan oleh pemaju, Merong Mahawangsa dan Datuk Yahya Abdul Jalil, terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah yang juga disidangi oleh Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Zainun Ali dan Datuk Seri Abu Samah Nordin membenarkan satu persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan di peringkat rayuan.

Persoalan undang-undang itu ialah sama ada akujanji untuk khidmat bagi mempengaruhi keputusan pembuat keputusan awam untuk menawarkan kontrak adalah berupa kontrak yang bertentangan dengan dasar awam seperti digariskan di bawah Seksyen 24 (e) Akta Kontrak 1950 dan oleh itu terbatal.

Pada 3 April tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Eskay selepas memutuskan bahawa beliau berhak menerima RM20 juta sebagai bayaran komisen daripada Merong Mahawangsa dan Yahya bagi khidmat yang ditawarkannya.

Sebelum itu, pada 5 Mei 2011, Mahkamah Tinggi telah menolak saman sivil Eskay terhadap Merong Mahawangsa dan Yahya kerana melanggar kontrak selepas membuat keputusan bahawa dia (Eskay) tidak berhak menuntut pembayaran kerana projek itu telah dibatalkan.

Projek Malaysia-Singapore International bagi menggantikan Tambak Johor-Singapura (dikenali sebagai jambatan bengkok) dibatalkan oleh kerajaan pada 12 April 2006 walaupun kerja-kerja awal telah dilaksanakan.

Kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM155 juta kepada Merong Mahawangsa bagi pembatalan projek itu.

Eskay, yang merupakan seorang daripada anggota trio 'Datuk T' yang mendedahkan video seks yang didakwa membabitkan individu mirip ketua pembangkang mengadakan huhubugan seks dengan pelacur itu, mengemukakan saman berkenaan pada 2002.

Beliau mendakwa Yahya pada 1998, telah memohon pertolongannya untuk mendapatkan projek itu daripada kerajaan, dan memperolehi pembiayaan asing untuk projek RM640 juta itu.

Eskay mendakwa bahawa Yahya meminta pertolongannya kerana hubungan baiknya dengan kerajaan dan bahawa beliau juga membawa Yahya ke kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan ketika itu, untuk berbincang mengenai projek.

Dalam pembelaannya, Yahya menafikan menggunakan hubungan baik Eskay dengan kerajaan kerana perbuatan itu adalah "melanggar dasar awam dan tidak sah mengikut undang-undang."

Beliau juga menafikan bahawa Merong Mahawangsa ditawarkan projek jambatan itu oleh kerajaan.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Merong Mahawangsa dan Yahya sementara Eskay diwakili oleh peguam Datuk C.V. Prabhakaran. - BERNAMA

Artikel Lain