suria

ATM Kerah 2,400 Anggota Bantu Mangsa Banjir Di Pahang

KUANTAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengerahkan seramai 2,400 anggotanya bagi membantu mangsa banjir di Pahang.

Panglima 3 Divisyen Mej Jen Datuk Sheikh Mohsin Sheikh Hassan berkata ketika ini seramai 1,200 anggota sedang terlibat dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa ke pusat penempatan sementara.

"Sementara 1,200 lagi sedang bersiap sedia untuk dikerah pada bila-bila masa sekiranya gelombang kedua banjir melanda negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sheikh Mohsin sebelum itu bersama Pengarah Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Yusof Saroji melawat dan menyerahkan bantuan air minuman kepada mangsa banjir di Sekolah Menengah Bukit Rangin, dekat sini.

Kira-kira 2,000 mangsa banjir sekitar Kuantan ditempatkan di pusat tersebut sejak banjir melanda Kuantan, Selasa lepas.

Sheikh Mohsin dalam pada itu berkata aset ATM seperti bot dan trak juga bersedia digunakan bagi memastikan operasi membantu mangsa banjir berjalan lancar.

"Sebanyak 10 buah helikopter juga akan digerakkan pada bila-bila masa bagi menyalurkan bantuan ke kawasan pedalaman yang terputus hubungan seperti di Rompin dan Sungai Lembing," katanya.

Sementara itu, Yusof berkata Syabas bekerjasama dengan ATM dalam Ops Murni ini untuk membekalkan 20,000 botol air mineral dengan isipadu lima liter setiap botol kepada mangsa banjir di Pahang dan di Kemaman, Terengganu.

"Kita juga bersedia menyalurkan bantuan serupa di negeri-negeri lain yang dilanda banjir bagi memastikan mangsa banjir mendapat bekalan air bersih yang mencukupi," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pernah Rasis - PM

Artikel Lain