suria

Buka Semula Kes Rogol Kanak-Kanak, Jangan Biar Perogol Terlepas Pendakwaan Dengan Kahwini Mangsa

PETALING JAYA: Kumpulan memperjuangkan isu wanita menuntut prosedur siasatan rogol yang lebih baik dan meminta supaya kes yang melibatkan seorang pengantin kanak-kanak yang didakwa dirogol oleh seorang pemuda yang kemudian mengahwininya perlu dibuka semula.

Pengurus program Sisters In Islam, Suri Kempe berkata, kes Nor Fazira Saad yang berusia 13 tahun memperlihatkan kelemahan undang-undang dalam perundangan, yang membenarkan perogol untuk melepaskan diri daripada siasatan dan hukuman menerusi perkahwinan.

"Kanak-kanak Islam dan bukan Islam tidak boleh dianggap berbeza. Ia amat dikesali apabila perkahwinan dipergunakan oleh perogol yang didakwa sebagai satu cara untuk melepaskan diri dari pendakwaan.

"Kerajaan perlu menghentikan perogol dari memanipulasi agama dan budaya. Kami menggesa kerajaan untuk membuat perlindungan kanak-kanak sebagai keutamaan dengan meminda peruntukan yang lemah ini dalam undang-undang.

"Amalan perkahwinan kanak-kanak memberi kesan kepada banyak risiko ekonomi, sosial dan kesihatan dan tidak melindungi kanak-kanak perempuan mahupun menjamin masa depan mereka," katanya.

Suri berkata, kepentingan terbaik kanak-kanak "jelas bukan pertimbangan" apabila Mahkamah Syariah meluluskan permohonan perkahwinan ini.

Beliau berkata, Akta Kanak-Kanak 2001 mengiktiraf seorang gadis berusia 13 tahun sebagai kanak-kanak tetapi walaupun undang-undang kanak-kanak, dia menafikan perlindungan yang biasanya diberikan kepada kanak-kanak, termasuk tanpa pendedahan daripada penelitian awam, hanya kerana dia telah berkahwin.

"Ini adalah salah satu keadaan bahaya bagi perkahwinan kanak-kanak, satu amalan yang tidak ada tempat dalam negara yang berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020."

Peguam dan aktivis hak asasi manusia, Madu Tan berkata, disebabkan jenayah rogol menyalahi undang-undang, laporan polis mengenai rogol boleh secara teknikal tidak ditarik balik.

"Secara teori, anda boleh menjalankan siasatan walaupun mangsa tidak mahu meneruskannya. Sebaik-baiknya, kita tidak seharusnya bergantung banyak pada bukti pengadu, " katanya.

"Di negara-negara lain, bukti polis, video, foto dan testimoni doktor mempunyai fungsi yang sama atau lebih."

Tan, yang juga sebahagian daripada NGO Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) berkata, oleh kerana ia adalah perkara biasa untuk mangsa yang muda mempunyai masalah dlaam memberi keterangan, maka adalah penting untuk mempunyai saksi yang "benar-benar memberi objektif" seperti doktor.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Ivy Josiah berkata, kes itu berfungsi untuk menyerlahkan idea regresif apabila seseorang perempuan itu bukan lagi "dara", dia dianggap tiada nilai.

"Jika anda dirogol, anda dilihat sebagai tiada nilai dan tidak akan ada yang akan berkahwin dengan anda. Terdapat kepercayaan dalam budaya bahawa seorang perempuan adalah tidak bermakna apabila dirogol sehingga membawa kepada beberapa penggunaan rogol itu sebagai paksaan ke dalam perkahwinan."

Josiah menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)) untuk campur tangan, sambil menambah bahawa ia adalah sesuatu yang mengejutkan apabila kanak-kanak dibenarkan untuk berkahwin.

"Di mana perlindungan kanak-kanak dalam hal ini? Mahkamah perlu dididik bahawa perkahwinan kanak-kanak tidak patut dibiarkan sama sekali."

Josiah turut menggesa pihak polis untuk membuka semula siasatan.

"Penarikan laporan tidak bermakna jenayah itu tidak dilakukan," katanya.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Peguam-Peguam Wanita, Meera Samanther juga berkata, pihak polis boleh meneruskan kes itu sendiri.

"Polis yang cekap perlu berusaha keras untuk mencuba dan mengetahui mengapa terdapat penarikan laporan itu.

"Dalam kes ini, seorang pekerja sosial seharusnya bertindak untuk menemubual gadis itu dan mengetahuinya dengan lebih lanjut. Ia adalah kewajipan kerajaan untuk mengetahui apa yang berlaku kerana ia adalah tanggungjawab mereka."

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail berkata, beliau akan meneliti kes itu secara peribadi.

"Kami kini mendapatkan butiran kes itu ," katanya, sambil menambah bahawa Jabatan Peguam Negara akan bertindak balas terhadap isu ini tidak lama lagi.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Noraini Mohd Hashim berkata, jabatan itu terpaksa menghormati hasrat ibu bapa Nor Fazira Saad kerana dia masih di bawah umur dan berada di bawah tanggungjawab mereka.

"Kita perlu menghormati hasrat ibu bapa. Dia sudah bercerai sekarang, dia mempunyai ibu bapa dan dia perlu kembali kepada ke pangkuan mereka dahulu. Mereka mempunyai tanggungjawab itu, dan kita tidak boleh mencerobohi hak-hak mereka," katanya.

Noraini berkata jika berjumpa, jabatan itu akan membincangkan langkah seterusnya bersama dengan ibu bapa gadis itu.

"Jika dia memerlukan kaunseling, kami akan menyediakan itu. Jika dia ingin kembali ke sekolah, kami juga boleh membantu menguruskannya.

"Kita tidak mahu menceroboh hal keluarga. Kami akan mendekati hanya sekiranya mereka meminta bantuan kami," katanya.

Artikel Lain