suria

Buruh Dipenjara 16 Tahun Sebabkan Kematian Rakan Sekerja

TAWAU: Seorang buruh warga Indonesia dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian rakan sekerjanya dua tahun lepas.

Hakim P.Ravinthran memerintahkan Jon Tindan, 37, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Jun 2011.

Dia didakwa menyebabkan kematian Masjudi Baba di sebuah rumah kongsi Gunung Rara 2, Ladang Srijaya Industri Sdn Bhd, Jalan Kalabakan kira-kira 9.30 malam, 12 Jun 2011.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Masjudi dikatakan menampar Jon sebanyak tiga kali selepas berlakunya pertengkaran mulut antara mereka.

Sebelum kejadian, tertuduh dikatakan menonton televisyen bersama mangsa dan tiga lagi rakan mereka di dalam bilik rumah kongsi itu.

Tidak lama selepas itu, Masjudi yang baru hendak beredar sekali lagi menegur Jon supaya tidak menjaga tepi kain orang lain dan Jon membalas teguran itu sehingga menimbulkan kemarahan Masjudi.

Masjudi mengeluarkan pisau sebelum menyerang tertuduh dan menyebabkan tiga lagi rakan mereka melarikan diri.

Jon turut bertindak mengeluarkan pisau dan menyerang Masjudi dengan menikam sebanyak lima kali ke dada mangsa sebelum melarikan diri.

Polis yang tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit melihat mangsa tertiarap berlumuran darah dan didapati tidak bernafas sebelum mayatnya dihantar ke bilik mayat Hospital Besar Tawau untuk dibedah siasat.

Jon ditahan di Balai Polis Kalabakan selepas dia menyerah diri kira-kira jam 12.30 tengah hari, 16 Jun 2011 sebelum membawa kepada penemuan senjata yang digunakan untuk menikam mangsa.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Kamalia Yahdi manakala tertuduh diwakili peguam Fadzullah Zainal Abidin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain