suria

Bekas Pengurus Kewangan Hadapi 27 Pertuduhan Pecah Amanah, Cek Palsu RM1.2 Juta

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus kewangan sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 27 pertuduhan termasuk pecah amanah dan menggunakan cek palsu membabitkan jumlah hampir RM1.2 juta.

Hakim Murtazadin Amran membenarkan P.Saravana Kumar, 38, diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan serta melapor diri ke balai polis berdekatan setiap bulan.

Saravana Kumar didakwa pecah amanah 20 keping cek milik majikannya, Syarikat Evergreen Triumph Sdn Bhd, bernilai RM88,634 di Hotel Federal, Jalan Bukit Bintang di sini antara 6 Januari 2010 dan 5 April 2012.

Dia juga didakwa pecah amanah lima keping cek bernilai RM39,183.11 milik Syarikat Showpro Entertainment di 47, Jalan Mega Mendung Entertainment Sdn Bhd, Bandar Park, Batu 5 Off Jalan Klang Lama antara 13 Jun 2011 dan 14 Disember 2102.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Saravana Kumar didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Bapa tiga anak itu turut berdepan 25 pertuduhan menggunakan cek palsu berjumlah lebih RM1 juta di EON Bank Berhad serta Hong Leong Bank di Jalan Sultan Ismail dan Citibank Jalan Ampang antara 6 Januari 2010 dan 24 Februari 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesemua kesalahan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Ramasundramoorthy memohon mahkamah membenarkan Saravana Kumar diikat jamin atas alasan tertuduh perlu menyara keluarganya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain