suria

Umno Terbuka Muzakarah Dengan PAS - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno bersifat terbuka berhubung kesediaan PAS untuk bermuzakarah dengan parti itu mengenai hal ehwal pentadbiran Islam di negara ini.

"Kita terbuka tetapi kita nak tengok apa skopnya dan kita nak minta penjelasan lanjut daripada pihak PAS," kata Perdana Menteri yang juga Presiden Umno kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 29 anggota Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang melahirkan kesediaan bermuzakarah dengan Umno dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Sementara itu, Najib berkata ia adalah keputusan kerajaan negeri apabila Johor memutuskan cuti hujung minggu di negeri itu akan ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Jan depan.

"Ia adalah keputusan kerajaan negeri. Jadi mengikut Perlembagaan, kita perlu hormati apabila kerajaan negeri telah membuat keputusan," katanya.

Najib berkata sektor swasta tidak akan terjejas kerana ia hanya melibatkan perkhidmatan kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang menempatkan jabatan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di Johor Baharu.

"UTC akan dibuka tujuh hari seminggu dan orang ramai boleh memanfaatkannya," katanya.

Sabtu lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan cuti hujung minggu di negeri itu ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuat kuasa 1 Januari.

Baginda bertitah hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan keberkatan hari itu hendaklah diambil peluang oleh umat Islam untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut dan disunatkan. BERNAMA

Artikel Lain