suria

653 Didakwa Tujuh Bulan Pertama Tahun Ini

MELAKA: Seramai 653 warga asing serta rakyat tempatan didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 antara Januari hingga Julai di Melaka, tahun ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka Kamalludin Ismail berkata jumlah tersebut meningkat 44.9 peratus berbanding 360 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata sehingga 31 Julai, sebanyak 231 operasi penguatkuasaan dijalankan di sekitar Melaka dengan tangkapan seramai 1,014 orang berbanding 273 operasi dengan tangkapan seramai 1,124 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

"Daripada jumlah tersebut, 35 operasi melibatkan Ops Sayang bagi membanteras aktiviti tidak bermoral dengan seramai 209 wanita warga asing ditahan kerana didapati bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO)," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri dan kemerdekaan jabatan itu di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, Jumaat.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.

Kamalludin berkata seramai 85 wanita warga Vietnam ditahan di dalam Ops Sayang diikuti Indonesia (38), Thailand (37), China (35) dan lain-lain (24).

Beliau berkata seramai 14 orang majikan dan pelindung yang terdiri daripada warga tempatan dan asing turut didakwa di mahkamah kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk memberi pelindungan kepada warga asing.

Katanya 22 lagi majikan dan pelindung dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah akta sama.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Imigresen Melaka berjaya mengutip hasil berjumlah RM69.5 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, meningkat sebanyak 18.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain