suria

Tiga Produk Kesihatan Tradisional Dikesan Beracun - Kementerian Kesihatan

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan agar tidak membeli dan menggunakan tiga produk tradisional yang mengandungi bahan racun berjadual sildenafil atau dexamethasone.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Datuk Eisah A Rahman berkata Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan telah mendapat maklumat dari Health Sciences Authority (HSA) bahawa ketiga-tiga produk itu ialah Li Long Mei Guo Mo Bang mengandungi Sildenafil, Africa Black Ant (Sildenafil) dan Ginseng Tu Chong Wan Lin Heong (Dexamethasone).

Beliau berkata hasil semakan mendapati ketiga-tiga produk itu tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

“Penggunaan bahan racun berjadual sildenafil atau dexamethasone adalah tidak dibenarkan dalam ubat kategori tradisional.

“Sildenafil adalah ubat yang digunakan dalam rawatan disfungsi erektil dan hanya boleh dibekal oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.

"Dexamethasone adalah ubat jenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 merupakan sejenis antiradang yang kuat dan biasa digunakan dalam rawatan alergi dan ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor kerana ia perlu diambil dengan dos yang sesuai mengikut keadaan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Eisah berkata penggunaan sildenafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan buruk seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan ke atas sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Beliau berkata penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan yang serius seperti ulser perut, lemah otot, tulang rapuh (osteoporosis), peningkatan paras gula dalam darah, peningkatan tekanan darah, glaukoma dan sindrom 'crushing'.

“Sesiapa yang mempunyai stok produk-produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta,” katanya.

Eisah berkata penjual diingatkan bahawa penjualan produk-produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Eisah mengingatkan orang awam yang sedang menggunakan produk Li Long Mei Guo Mo Bang dan Africa Black Ant agar segera menghentikan penggunaannya, manakala bagi yang mengambil produk Ginseng Tu Chong Wan Lin Heong dinasihatkan supaya segera mendapatkan nasihat dan rawatan dari ahli profesional kesihatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai produk-produk tidak berdaftar ini dinasihatkan supaya menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan di talian 03-78413200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada [email protected] bagi menyalurkan maklumat agar tindakan dapat diambil bagi mengekang pengedaran produk ini di pasaran.

Orang ramai juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-7833 5400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain