suria

Aduan 8 MCA Bahagian Mengenai Presiden Tidak Sah: Liow

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa disiplin MCA tidak boleh menerima aduan lapan MCA Bahagian mengenai tindakan presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang masih enggan melepaskan jawatan Pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata aduan itu tidak sah kerana tidak tertakluk dalam Perlembagaan Parti yang membolehkan anggotanya membuat aduan terhadap masalah disiplin presiden.

"Menurut Perlembagaan Parti, tidak ada mana-mana perkara yang menyatakan bahawa anggota boleh mengemukakan aduan mengenai masalah disiplin jawatan tertinggi (presiden) parti itu, sebaliknya hanya boleh menerima laporan mengenai masalah disiplin dalam kalangan anggota.

"Bagaimanapun, mereka boleh mengemukakan aduan itu melalui Mesyuarat Agung Tahunan yang akan diadakan 22 Dis ini," katanya ketika ditemui selepas mesyurat Majlis Pengerusi di sini Rabu.

Liow berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan lapan Bahagian MCA yang tidak berpuas hati dengan Dr Chua yang masih memegang jawatan itu walaupun MCA menerima resolusi untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan selepas kekalahan teruk pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas.

Baru-baru ini, media berbahasa mandarin melaporkan Pengerusi MCA Bahagian Wangsa Maju Datuk Yew Teong Lock bersama-sama pengerusi bahagian Titiwangsa Datuk Alex Chuah serta enam lagi pengerusi bahagian lain menggesa Jawatankuasa Disiplin parti mengambil tindakan terhadap Dr Chua jika beliau masih enggan melepaskan jawatan Pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang.

Enam lagi bahagian yang turut mahu Dr Chua diambil tindakan disiplin ialah MCA Teluk Intan, Bentong, Kuala Selangor, Kual Krau, Raub dan Paya Besar.

MCA sebelum pilihan raya umum ke-13 memutuskan untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan jika ia tidak menerima sokongan penuh masyarakat Cina.

Namun, Dr Chua dilaporkan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi parti telah memutuskan bahawa mana-mana jawatan yang dipegang sebelum pilihan raya umum ke-13 masih boleh diteruskan dan ini menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati dalam parti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain