suria

Suraya Sah Tanding Jawatan Naib Ketua Wanita Umno

Suraya Yaakob
Suraya Yaakob
Suraya Yaakob

PETALING JAYA: Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Kedah, Datuk Suraya Yaakob mengesahkan beliau akan merebut jawatan Naib Ketua Wanita Umno dalam pemilihan sayap pergerakan itu pada 28 September depan.

Dua timbalan menteri mungkin akan mengikut jejak langkah Suraya selepas Hari Raya.

Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang merupakan individu pertama yang menyuarakan hasrat untuk bertanding jawatan tersebut.

Buat masa ini, beliau merupakan exco Pergerakan Wanita Umno dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Puteri Umno Bahagian Kedah.

Beliau memegang portfolio Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan.

Suraya berkata beliau telah memaklumkan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengenai keputusannya selepas mesyuarat exco Wanita Umno hujung minggu lalu dan Shahrizat merestuinya.

"Saya sokong Kak Ijat (Shahrizat) walaupun kami bukan bertanding untuk jawatan sama. Semua orang akan berusaha keras pada kali ini. Saya berharap orang akan menilai saya berdasarkan apa yang telah dilakukan dan apa yang boleh saya sumbangkan," katanya.

Suraya berkata keputusan itu dibuat memandangkan jawatan tersebut kosong selepas penyandang Datuk Kamilia Ibrahim dipecat kerana bertanding atas tiket calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu.

Timbalan Menteri yang akan mencabar Suraya adalah Datuk Azizah Mohd Dun (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Rosnah Rashid Shirlin (Kementerian Kerja Raya).

Azizah ketika dihubungi berkata, beliau akan membuat keputusan selepas sambutan Aidilfitri.

Ahli politik dari Sabah itu mengakui mendapat sokongan daripada rakan-rakan untuk bertanding jawatan tersebut dan beliau akan memikirkan mengenainya dengan serius dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

"Umno adalah parti demokratik, sesiapa saja boleh bertanding tetapi kita perlu tahu apa yang mahu dibawa untuk parti dan sayap Wanita kerana ia mengenai masa depan parti dan negara," katanya.

Azizah dianggap sebagai 'giant killer' selepas menewaskan ahli politik berpengaruh di Sabah, Datuk Lajim Ukim di kerusi Parlimen Beaufort pada PRU-13.

Ketika ditanya sama ada beliau melihat dirinya sebagai calon lawan kepada penyandang Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil, beliau berkata:"Bukan buat masa ini, tetapi apa saja boleh berlaku."

Rosnah yang juga Ketua Puteri Umno masih belum mengesahkan atau menafikan sama ada dia akan bertanding pada pemilihan tersebut.

Ahli Parlimen Papar itu perlu memegang jawatan utama dalam sayap Wanita sekiranya ingin mempertahankan jawatan timbalan menteri yang disandangnya selepas pemilihan Umno.

Sebelum ini, bekas Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Seri Azalina Othman Said bersedia mencabar Shahrizat untuk jawatan Ketua Wanita Umno.

Artikel Lain