suria

CEO Maybank Dilantik Menteri Di JPM

Abdul Wahid Omar
Abdul Wahid Omar
Abdul Wahid Omar

PUTRAJAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar pada Rabu dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (UPE).

Pengumuman senarai Kabinet yang baru itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Selain Abdul Wahid, yang turut diumumkan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ialah Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Senator Datuk Idris Jalal, Tan Sri Panglima Joseph Kurup, Datuk Seri Shahidan Kassim, Nancy Shukri, Datuk Joseph Entulu Anak Belaun dan Datuk Paul Low Seng Kwan.

Abdul Wahid akan dilantik sebagai senator, berkuatkuasa pada 5 Jun depan.

Anak Johor berusia 49 tahun ini merupakan antara muka-muka baharu dan salah seorang daripada dua teknokrat yang dipilih oleh Najib dalam barisan Kabinet baharunya selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Selain beliau teknokrat yang turut dilantik ialah Datuk Paul Low, daripada Transparency International dan bekas pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia.

Wahid juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM World Berhad.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Kay Roserina Mohd Kassim dan dikurniakan dua orang anak perempuan.

Pengalaman luas Abdul Wahid dalam pengurusan kewangan dan perbankan akan banyak membantu menerus dan merangka strategi bagi mencapai Wawasan 2020 dan menjadi negara perindustrian.

Abdul Wahid merupakan tokoh korporat berpengalaman dengan pengalaman selama 20 tahun dalam industri perbankan, memulakan kerjayanya sebagai Penolong Audit dalam KPMG Peat Marwick/Desa Megata & Co pada November 1987.

Pengalaman bekerja beliau termasuk bertugas di Bumiputra Merchant Bankers Bhd, Kumpulan Fima Bhd, Amanah Capital Partners Bhd dan UEM Bhd.

Pada 2004, beliau menerajui Telekom Malaysia Bhd yang selepas itu menjalani penjenamaan semula besar-besaran untuk mencerminkan entiti lebih dinamik.

Beliau mengurangkan kos dan mengkhususkan program dalam syarikat gergasi telekomunikasi itu yang menyaksikan ia mencapai sasaran jualan dan keuntungan.

Beliau mengasingkan perniagaan mudah alih dan talian tetap syarikat itu menjadi unit berasingan dan mengembangkan perniagaan ke luar negara, membeli syarikat mudah alih di Indonesia, Singapura dan India.

Di bawah kepimpinannya, outlet runcit TM ditukarkan menjadi TM Points, yang dilihat lebih dinamik, kondusif dan mesra pelanggan.

Di Maybank, meskipun menerima kritikan pada peringkat awal terhadap pembelian 56 peratus pegangan oleh bank itu dalam kumpulan perbankan keenam terbesar di Indonesia, Bank Internasional Indonesia, atau BII, dengan harga AS$1.5 bilion oleh pengurusan sebelumnya, beliau tidak goyah dan berjaya menukarkan BII menjadi satu pelaburan menguntungkan.

Beliau tidak diragui berjaya mengubah Maybank menjadi sebuah kumpulan yang utuh dan memacunya ke bahagian baharu dengan menjadikan bank tersebut peserta serantau serta membuat pengambilalihan serantau termasuk Kim Eng Securities.

Abdul Wahid juga memainkan peranan korporat utama dalam membantu membina hubungan komersil dengan negara-negara Afrika seperti Uganda dan Swaziland menerusi Dialog Antarabangsa Selatan Afrika dan Dialog Antarabangsa Langkawi.

Artikel Lain