suria

DAP Syorkan Jawatan Ketua Pembangkang Diberi Status & Kemudahan Menteri

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan agar jawatan ketua pembangkang di Dewan Rakyat diberi status penuh seperti seorang menteri lengkap dengan kemudahan-kemudahan lain dan juga pegawai.

Kit Siang yang juga ahli parlimen Gelang Patah menegaskan, jika kerajaan benar-benar mahu melihat wujudnya perubahan dan juga transformasi maka mereka mestilah bersedia untuk turut melakukan pembaharuan di peringkat parlimen itu sendiri.

Bercakap kepada para pemberita di Ibu Pejabat DAP di sini pada Jumaat, Kit Siang menambah, sudah tiba masanya untuk ketua pembangkang parlimen Malaysia diberi pengiktirafan secukupnya dan menikmati kemudahan-kemudahan sepertimana yang dinikmati oleh seorang bertaraf menteri.

Ketua pembangkang menurut Kit Siang kini wajar mendapat kemudahan gaji, elaun, kereta, kakitangan sokongan seperti setiausaha politik, setiausaha sulit kanan dan setiausaha sulit serta pegawai-pegawai khas untuk kerja-kerja penyelidikan dan sebagainya yang selama ini dinikmati oleh para menteri.

Hanya dengan itu barulah nampak adanya satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk melakukan pembaharuan, ujarnya lagi. Ketua pembangkang juga katanya perlu dirujuk dalam semua hal berhubung perjalanan parlimen.

Lain-lain pembaharuan yang dicadangkannya termasuklah peruntukkan tahunan sebanyak RM500,000 kepada semua ahli parlimen untuk keperluan kawasan masing-masing.

Kit Siang juga menegaskan yang wakil rakyat dari parti pembangkang seharusnya dipertimbangkan untuk mengetuai Jawatankuasa Khas Akaun Awam Parlimen untuk memberi kredibiliti dan kuasa untuk menyemak sebarang salah laku perbelanjaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain