suria

Bekas KPN Nasihat Rakyat Terima Maklumat Daripada Sumber Sahih

Tan Sri Rahim Noor
 Tan Sri Rahim Noor
Tan Sri Rahim Noor

MUAR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor menasihatkan agar rakyat menerima maklumat daripada sumber-sumber yang sahih agar tidak menimbulkan sebarang kekacauan pada hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Ahad ini.

Beliau berkata, sebarang khabar angin atau media sosial yang cepat tersebar tidak boleh dipercayai dan hanya bertujuan menimbulkan provokasi dan keadaan huru-hara.

"Rakyat perlu tunjuk kematangan, jangan mudah percaya maklumat yang tersebar secara pantas melalui media sosial sebaliknya menerima maklumat daripada saluran yang betul.

"Begitu juga hari selepas keputusan sama ada parti yang kita sokong menang atau tidak kita perlu menerima dengan hati terbuka," katanya pada sidang media, dekat sini.

Beliau yakin, pihak polis sudah bersedia menghadapi sebarang keadaan dan kemungkinan yang bakal timbul sepanjang PRU-13 ini berlangsung.

"Daripada maklumat yang saya dapat pihak berkuasa sudah bersedia menghadapi sebarang keadaan tegang yang dijangka berlaku pada 5 Mei ini.

"Keadaan tegang ini kalau tidak diatasi dengan cara yang betul akan menjadi lebih teruk. Senario sekarang berbeza dengan keadaan masa saya muda dahulu yang lebih mudah dikawal," ujarnya.

Tambahnya, bantuan orang ramai dalam bersatu menjaga keamanan tanpa cuba menimbulkan sebarang provokasi sangat penting kepada pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar dan menganggap perbuatan demonstrasi yang sering dianjurkan pembangkang sebagai perkara sia-sia.

"Orang yang terfikir untuk timbulkan huru-hara ada orang yang mempunyai fikiran tidak betul.

"Mereka ingin perjuangkan dan menegakkan hak asasi mereka tapi pernah mereka fikir hak-hak orang sekeliling yang mendapat banyak masalah kesan daripada demonstrasi tersebur," katanya.

Kata beliau, khabar angin pembangkang ingin mencetuskan huru-hara apabila gagal dalam PRU-13 ini adalah sebagai taktik untuk menakut-nakutkan pengundi untuk keluar memilih kerajaan.

Hal tersebut akhirnya akan merugikan negara yang telah mengeluarkan perbelanjaan jutaan ringgit bagi menjalankan proses pilihan raya ini.

Artikel Lain