suria

BN Mampu Pertahan Parlimen Arau

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P3 Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim (kiri) bersalaman dengan lawannya dari Pas Datuk Dr Haron Din (kanan) selepas penyerahan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon Parlimen Arau di Dewan Sivik Arau, Sabtu lalu. -Foto BERNAMA
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P3 Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim (kiri) bersalaman dengan lawannya dari Pas Datuk Dr Haron Din (kanan) selepas penyerahan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon Parlimen Arau di Dewan Sivik Arau, Sabtu lalu.
-Foto BERNAMA
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P3 Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim (kiri) bersalaman dengan lawannya dari Pas Datuk Dr Haron Din (kanan) selepas penyerahan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon Parlimen Arau di Dewan Sivik Arau, Sabtu lalu. -Foto BERNAMA

KANGAR: Pada 20 April lalu, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din sama-sama menghulur salam semasa proses penamaan calon dan baru-baru ini kedua-dua tokoh itu menghulurkan simpati pula kepada mangsa ribut yang melanda kawasan Parlimen Arau.

Sebaik kejadian berlaku pada petang Selasa, kedua-dua tokoh itu telah berada di kawasan bencana menyaksikan 118 buah rumah rosak di kawasan Guar Sanji dan Pauh, untuk bertanya khabar dan menghulur simpati bagi mewakili parti masing-masing dan semalam mereka terus menziarahi mangsa-mangsa dalam kesibukan jadual kempen.

Kedua-dua tokoh politik berlainan parti itu kini begitu sibuk menjelang pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei ini kerana mereka menjadi sandaran harapan bagi parti yang mereka wakili untuk merebut kerusi Parlimen Arau.

Kawasan Parlimen Arau bukan asing bagi Shahidan kerana beliau pernah menyandang kerusi itu selama dua penggal pada 1986 dan 1990 manakala bagi Haron, beliau pernah bertanding dan kecundang dua kali pada pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Pilihan raya umum ke-13 menyaksikan Shahidan dan Haron bertembung buat kali pertama di kawasan yang mempunyai 43,876 pemilih dengan hampir 87 peratus berketurunan Melayu itu tetapi sebelum ini kedua-dua mereka pernah bertemu pada pilihan raya umum 2004 bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang yang menyaksikan Haron tewas.

Shahidan, 62, yakin kerusi Parlimen Arau akan terus menjadi milik BN kerana gelombang sokongan terhadap parti yang menerajui negara kian bertambah, apatah lagi pengundi lebih menyenangi calon yang sentiasa bersama mereka dan bukannya calon yang hadir menunjukkan wajah di saat pilihan raya umum.

Shahidan yang juga Ketua Umno bahagian Arau, berkata kerajaan telah membawa banyak pembangunan di kawasan Parlimen Arau yang juga merupakan kawasan jelapang padi utama di Perlis.

Pemimpin BN ini yang berkecimpung dalam dunia politik sejak 1967 berkata kawasan Parlimen Arau telah berkembang sehingga menjadi hab ilmu dengan wujudnya kampus induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh Putra dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Arau di samping lain-lain institusi termasuk Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Ulu Pauh.

Lebuh raya yang menghubungkan Kuala Perlis dan Changlun juga melalui kawasan Parlimen Arau manakala bandar Arau yang dikenali sebagai bandar Diraja juga terus membangun dengan kegiatan ekonomi apabila wujudnya kompleks-kompleks perniagaan di situ.

Rakyat termasuk golongan petani dan nelayan menikmati kehidupan yang lebih selesa di kawasan Parlimen Arau apabila kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berusaha meningkatkan pengeluaran padi melalui pelbagai program pembangunan yang berterusan.

Antara pembangunan terbaharu di kawasan Parlimen Arau termasuk pembinaan Sistem Pengairan Tersier Blok ARBD 3 bernilai RM8.54 juta yang dilaksanakan di kawasan Tambun Tulang yang antara lain bertujuan meningkatkan pengeluaran padi kepada lapan tan metrik sehektar berbanding purata enam tan metrik sehektar pada masa ini.

Mada juga membelanjakan sebanyak RM6.178 juta untuk pengambilan tanah seluas 20.6 hektar membabitkan 290 pemilik yang juga merupakan pesawah di kawasan berkenaan bagi melaksanakan projek itu.

Bagi nelayan pula, mereka menikmati kemudahan elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan sejak 2009 dan sudah pasti mereka tidak mahu mengambil risiko jika mahu mengalih pandangan kepada pihak lain.

Bagi Haron, 73, keyakinannya untuk menang dalam percubaan kali ketiganya ialah atas alasan kekalahan beliau pada PRU 2008 hanya dengan perbezaan majoriti tipis 300 undi.

Bagaimanapun ketika itu beliau berdepan dengan adik Shahidan, Datuk Ismail dan pada PRU 2004, Haron yang juga pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa'), tewas kepada calon BN, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail dengan majoriti 3,243 undi.

Selain itu, kata Haron, dua daripada lima kerusi dewan undangan negeri dalam Parlimen Arau iaitu Simpang Empat dan Sanglang disandang oleh PAS.

Parlimen Arau dianggap antara kawasan paling sengit pada pilihan raya umum kali ini kerana dua nama besar bertanding di situ di samping seorang calon Bebas Zainudin Yom, seorang ahli perniagaan yang menetap di Sanglang. -BERNAMA

Artikel Lain