suria

Khaled Nordin Azam Guna Pengalaman Persekutuan Untuk Majukan Johor

JOHOR BARU: Penyandang kerusi Parlimen Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berazam untuk menggunakan pengalamannya selama tiga penggal di peringkat persekutuan sebelum ini untuk membantu menjayakan pembangunan negeri Johor.

Beliau yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas berkata, segala pengalaman itu amat berguna untuk beliau menyambung transformasi yang telah dialami oleh negeri Johor terutama dari segi pembangunan dan ekonomi.

"Pembangunan di Johor kini berada di landasan yang terbaik dengan projek pembangunan Iskandar Malaysia yang perlu diteruskan untuk memakmurkan lagi negara ini.

"Dengan pengumuman ini (bertanding di DUN Permas), saya tidak lagi menjadi menteri persekutuan, namun saya harap dengan pengalaman yang ada selama tiga penggal di persekutuan sebelum ini dapat saya gunakan untuk membangunkan Johor," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran Manifesto Barisan Nasional Johor dan pengumuman calon BN di sini Selasa.

Pengumuman tersebut dilakukan oleh Setiausaha Kerja BN Johor Ramli Bohani.

Ketika diminta mengulas keputusan beliau bertanding di Permas yang sebelum ini merupakan kerusi milik MIC, Mohamed Khaled berkata, masih banyak misi yang ingin beliau jayakan di kawasan itu.

"Sebelum ini saya di Pasir Gudang dan biarlah kali ini, saya masih tetap berkhidmat di situ kerana Permas merupakan salah satu daripada dua kerusi DU Nyang berada di Parlimen itu.

"Ada banyak kerja lagi yang masih perlu dilakukan," katanya.

Mohamed Khaled, 55, disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar Johor menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman yang meninggalkan DUN Serom dan bertanding di Parlimen Gelang Patah untuk menentang Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya (1999-2004) Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2004-2008), dan dilantik menjadi Menteri Pengajian Tinggi pada 2008 sehingga kini. - BERNAMA

Artikel Lain