suria

Ng Yen Yen Sedia Tidak Pertahan Kerusi Parlimen Raub

Datuk Seri Dr Ng Yen Yen
 Datuk Seri Dr Ng Yen Yen
Datuk Seri Dr Ng Yen Yen

TUMPAT: Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen bersedia untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Raub, Pahang sekiranya Barisan Nasional (BN) mempunyai calon baru.

Dr Ng yang sudah tiga penggal menjadi anggota Parlimen Raub, berkata beliau sudah berbincang dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.

Katanya beliau akan memberikan sokongan kepada calon baharu itu nanti bagi memastikan kemenangan BN di kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Dr Ng yang juga Menteri Pelancongan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Songkran dan Pesta Air Kelantan 2013 di Wat Sukhontharam, Kampung Kubang Panjang di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Pengerusi MCA Kelantan itu berkata sokongan masyarakat Cina di negeri ini kepada BN semakin baik, malah lebih baik berbanding pilihan raya umum lalu. "Sokongan daripada kaum Cina bagus, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama yang akan ditandingi calon dari MCA, kini 55 peratus kaum Cina sokong kita, kita nak naikkan lagi hingga 95 peratus," katanya yang yakin BN boleh merampas kerusi DUN itu daripada PAS pada PRU13.

Dr Ng berkata BN Kelantan akan memajukan industri pelancongan negeri jika rakyat memberi mandat kepada BN untuk memerintah negeri itu.

"Kita (BN) akan membaiki dan memelihara produk pelancongan sedia ada dan mencari produk pelancongan baharu dan kita promosi ke seluruh dunia supaya ramai pelancong luar datang ke Kelantan," katanya.

Beliau turut membidas kerajaan PAS Kelantan yang didakwa mengabaikan pembangunan sektor pelancongan dan kebudayaan sehingga merugikan rakyat sepanjang 23 tahun memerintah negeri itu. -BERNAMA

Artikel Lain