suria

APMM Pertingkat Kawalan di Perairan Lahad Datu

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)mempertingkat kawalan di perairan Lahad Datu, Sabah dengan kerjasama agensi keselamatan negara termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menghadapi perkembangan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari Filipina.

Ketua pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish berkata tiga kapal maritim dan enam bot kini berkawal di perairan.

"Di Lahad Datu, (sebelum ini) kita mempunyai tiga buah kapal yang beroperasi pada setiap masa, iaitu dua akan berada di laut, manakala sebuah lagi untuk siap siaga. "Namun bagi kes pencerobohan yang berlaku kita telah mengarahkan enam bot APMM yang berpangkalan di Sandakan, Sabah bagi meningkatkan kawalan di perairan itu," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis perasmian Pusat Latihan dan Akademi Maritim Malaysia, yang kini dikenali sebagai Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Gebeng, di sini, Sabtu.

Majlis itu disempurnakan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata di kawasan Lahad Datu sahaja, panjang pesisir pantai di kawasan berkenaan lebih 100km dan ia bukannlah sesuatu yang mudah dalam mengawal perairan itu, malah terdapat di kawasan-kawasan tertentu, jarak sempadan perairan dengan Filipina hanyalah "10 minit" menerusi perjalanan bot.

"Sejak mendapat maklumat awal pendaratan penceroboh tersebut kami dengan kerjasama TLDM telah melakukan sekatan di kawasan perairan tersebut dan mana-mana bot atau kapal yang lalu di situ kami pintas.

"Kita juga turut menjalin kerjasama dengan pihak pengawal pantai Filipina bagi mendapatkan dan bertukar-tukar maklumat sekiranya terdapat sebarang anasir atau pencerobohan oleh mana-mana pihak di situ ekoran sempadan perairan Sabah dan Filipina sangat hampir antara satu sama lain," katanya.

Cabaran bagi menjaga perairan negara sepanjang 2,992 kilometer dengan keluasan 640,000km persegi bukanlah satu perkara yang mudah, katanya.

Beliau berkata keluasan perairan negara adalah tiga kali ganda luas berbanding kawasan darat negara ini.

Mohd Amdan berkata APMM kini mempunyai 35 buah kapal yang beroperasi di sepanjang perairan negara dari Pulau Langkawi, Kedah hingga ke Tawau, Sabah. -BERNAMA

Artikel Lain