suria

Bekas Ketua Juruwang Didakwa Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: Bekas ketua juruwang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Khamis terhadap pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan lebih RM190,000 empat tahun lepas.

Mohd Zulkhairi Mo'men, 40, dari Bandar Kinrara dekat sini didakwa melakukan pecah amanah wang tunai RM196,900 di Maybank Cawangan Jalan Mega Mendung, Brickfields pada 9.50 pagi, 24 Julai 2009.

Dia yang kini menjual air di pasar tani didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohamed Hanifah menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Namun peguam Engku Aminuddin Engku Ibrahim memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung tiga anak yang masih kecil.

Hakim S.M Komathy Suppiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 8 Mac depan untuk pengurusan kes.

Sementara itu di mahkamah yang sama seorang penganggur mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan samun berkumpulan dengan melarikan kereta BMW milik seorang kontraktor, tahun lepas.

Abu Hassan Mohd Andar, 38, bersama dua lagi yang masih bebas didakwa melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata parang dan kerambit dengan melarikan kereta BMW 5 Series milik Mahathir Mahmud, 36, di Stesen Minyak Shell, Lebuhraya Huraian Timur Barat, Cheras dekat sini pada 9.15 pagi, 20 Dis tahun lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu pendakwaan yang turut dikendalikan Shashitah menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagaimanapun Abu Hassan memohon jaminan terhadapnya dikurangkan atas alasan dia tidak mempunyai pekerjaan serta perlu menyara keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Mac depan untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam. -BERNAMA

Artikel Lain