suria

Portal Kerjaya Kedua Bantu Veteran Dapatkan Pekerjaan Selepas Bersara

Portal Kerjaya Kedua Veteran
Portal Kerjaya Kedua Veteran
Portal Kerjaya Kedua Veteran

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan Malaysia pada Selasa melancarkan portal kerjaya kedua (www.kerjayaveteran.my) melalui program Pelan Perancangan Kerjaya bagi warga veteran Angkatan Tentera Malaysia(ATM).

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, portal ini menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di seluruh negara dengan usaha sama dan sokongan daripada organisasi kerajaan, nasional, korporat dan swasta.

“Kita tidak mahu veteran-veteran ATM hanya tertumpu kepada bidang keselamatan semata-mata yang akhirnya mereka hanya boleh menjadi pengawal keselamatan.

“Lebih baik lagi apabila banyak pilihan dan peluang yang ditawarkan dalam portal ini membolehkan mereka membina kerjaya yang mereka inginkan,” katanya pada Majlis Pelancaran Portal Kerjaya Kedua Veteran ATM, di sini, Selasa.

Tambah Zahid, melalui program ini, dijangka seramai 30,000 veteran berpencen dan tidak berpencen di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada inisiatif bantuan kerajaan 2020.

“Inisiatif ini adalah mengenai peralihan daripada kehidupan seorang perajurit kepada kehidupan awam.

“Ia akan membantu veteran memulakan langkah awal selepas bersara dari ATM terutama dalam bentuk panduan penting serta meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk berhadapan dengan kerjaya baru,” katanya.

Dalam pada itu, portal kerjaya kedua ini dikendalikan oleh syarikat perundingan pengurusan modal insan dan penyelesaian tenaga kerja, Kerjaya Sukses Sdn Bhd.

Pengerusi Kerjaya Sukses, Tan Sri Azizan Ariffin berkata, kepakaran anggota veteran ATM akan disesuaikan dengan kehendak pasaran tempatan.

“Kami akan menyedia penyelesaian lengkap bagi rangkaian perniagaan sama ada kecil, sederhana mahupun besar merentasi kesemua bidang industri.

“Selain itu, portal kerjaya kedua kerjayaveteran.my ini diadaptasikan daripada kejayaan model portal kerjaya veteran angkatan tentera Amerika Syarikat,” katanya.

Sementara itu, pesara yang pernah berkhidmat dengan pasukan Tentera Darat, Suhaimi Ahmad, 40, berkata, ini merupakan peluang terbaik bagi pesara tentera untuk mencari hala tuju baru selepas tamat perkhidmatan.

“Banyak peluang dan pilihan kerjaya ada dalam portal tersebut, kita juga akan dibimbing oleh pihak Kerjaya Sukses untuk mencari peluang-peluang pekerjaan yang sesuai.

“Sebelum ini memang ramai pesara yang tidak tahu apa yang ingin mereka lakukan selepas pencen,” katanya yang kini sudah mempunyai sebuah bengkel kereta di Klang.

Seorang lagi pesara tentera, Ali Abdul Manan, 42, berkata portal itu akan membantu pesara dalam menerokai bidang di luar perkhidmatan mereka dahulu.

“Portal ini beri panduan untuk memulakan langkah pertama bagi sesuatu kerjaya.

“Lebih menarik apabila banyak peluang kerja yang ditawarkan tidak tertumpu kepada hanya kepada bidang keselamatan yang selalu dikaitkan dengan pesara tentera.

"Saya lebih berminat kepada bidang perniagaan makanan dan banyak maklumat tentang bidang tersebut boleh didapati di portal ini,” katanya lagi.

Artikel Lain