suria

Tunku Annuar Dimasyhur Pro Canselor I KUIN

Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah
Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah
Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah

BALING: Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah dimasyhur sebagai Pro Canselor I Kolej Universiti Insaniah (KUIN) pada istiadat Konvokesyen Khas KUIN dekat sini, Selasa. Bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Afiffudin Omar pula dilantik sebagai Pro Canselor II pada istiadat sama yang turut menyaksikan perasmian Kampus Induk KUIN di Kuala Ketil dekat sini oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Ketika bertitah pada istiadat itu, Seri Paduka, yang juga Canselor KUIN, menzahirkan ucapan syabas serta tahniah kepada kedua-dua Pro Canselor yang baru dilantik.

"Sesungguhnya ilmu dan pengetahuan mereka merupakan khazanah yang tak ternilai, khasnya kepada masyarakat negeri ini. "Beta berharap mereka akan sentiasa bersedia meneroka perkongsian ilmu dengan para ilmuan Insaniah (KUIN) dalam membimbing para pelajar dan masyarakat ke arah membentuk masyarakat berilmu dan bertaqwa," titah baginda. Seri Paduka turut berharap satu proses pindahan ilmu dapat dirangka dan pengalaman serta kejayaan tokoh berpengalaman di KUIN dapat direkodkan bagi dijadikan rujukan untuk generasi akan datang.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Sementara itu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam ucapannya berkata walaupun boleh dikatakan semua prasarana di kampus induk itu telah dibina namun penempatan untuk pelajar masih belum mencukupi.

"Kita masih ada beberapa kekurangan, antaranya, Pusat Islam dan sebahagian penempatan para pelajar. Marilah kita berdoa agar usaha-usaha gigih yang sedang dijalankan oleh pengurusan Insaniah (KUIN) akan menjadikan harapan ini suatu realiti dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata Kuala Ketil dipilih sebagai lokasi kampus induk KUIN kerana pihaknya mahu menjadikannya sebuah bandar raya satelit bagi daerah Kulim, Bandar Baharu, Baling dan Sungai Petani.

Turut dibina ialah sebuah dewan yang boleh menampung 5,000 pengguna dalam satu-satu masa atau acara. -BERNAMA

Artikel Lain