suria

Siasat Tun M Isu 'Projek IC' Sabah - Azmin

PETALING JAYA: Pembangkang mahu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat berhubung isu pemberian kerakyatan kepada warga asing di Sabah semasa era pentadbirannya.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali berkata, siasatan tersebut perlu dilakukan berikutan pemimpin kanan kerajaan ketika itu, iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dikaitkan dalam isu 'Projek IC' sebelum pilihan raya negeri Sabah pada 1994.

'Projek IC' merujuk kepada dakwaan 'projek rahsia' untuk mengubah demografi Sabah dengan memberi kad pengenalan kepada rakyat asing.

Pada Khamis, Dr Mahathir mengakui mengetahui mengenai proses pemberian status kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah.

Beliau bagaimanapun berkata, pemberian status warganegara itu dibuat selepas mengambil kira syarat-syarat kelayakan berdasarkan peruntukan undang-undang.

Malah kata Dr Mahathir sebahagian besar mereka yang menerima status warganegara adalah mereka yang telah bermastautin di Sabah selama lebih 20 tahun dan bertutur dalam bahasa Melayu.

Isu ini timbul apabila bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Ramli Kamarudin ketika disoal-siasat oleh Suruhanjaya Diraja (RCI) berhubung kes ini mendakwa kerajaan pada ketika itu terlibat memberikan kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Artikel Lain