suria

Kolej Tunku Kurshiah Berpindah Ke Nilai Awal Tahun Depan

NILAI: Kolej Tunku Kurshiah akan (TKC) akan berpindah secara rasmi ke kompleks baharu di Bandar Enstek di sini pada 1 Januari depan.

Sebelum ini ia terletak di Jalan Tunku Kurshiah, Seremban.

Pengetua TKC, Che Kamaliah Endud berkata TKC kini memiliki kawasan seluas 17.4 hektar yang dibina dengan kos kira-kira RM75 juta dan diserahkan kepada Kementerian Pelajaran pada 4 Oktober lepas.

"Dari tarikh itu, kita telah mulakan proses perpindahan secara beransur-ansur bagi menerima pelajar pada 1 Januari 2013. Pada 1 Januari ini, semua pelajar akan mendaftar di TKC Bandar Enstek.

"Pada tahun 2013, kita mengekalkan bilangan pelajar sedia ada bagi Tingkatan Satu hingga Lima dan sekiranya ada penambahan pelajar, ia akan dibuat selepas tarikh itu," katanya.

Beliau berkata di samping program akademik aliran perdana, TKC akan memulakan dua program baharu iaitu program diploma International Baccalaureate (IB) untuk pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan IB Middle Year Programme untuk pelajar Tingkatan Satu dan Lima.

Katanya IB Middle Year Programme IB akan bermula tahun depan manakala IB tahun 2014.

"Untuk itu kita turut menyediakan prasarana untuk program akademik International Baccalaureate. Dengan adanya kedua-dua program tambahan ini akan menjadi TKC sebagai sebuah sekolah yang mirip sekolah di peringkat antarabangsa," katanya.

Che Kamaliah berkata kompleks baru TKC mempunyai dua blok utama akademik iaitu Menengah Rendah dan Menengah Atas, blok pentadbiran yang menempatkan pejabat, bilik guru, perpustakaan, makmal dan dewan yang boleh menampung 1,000 orang dalam satu masa.

Katanya blok utama akademik akan menampung seramai 650 orang pelajar aliran perdana dan 100 orang pelajar aliran IB.

Selain itu, katanya kompleks ini turut mempunyai blok asrama, surau, kediaman warden, kantin, kemudahan padang dan gelanggang sukan serta kemudahan Internet tanpa wayar.

Beliau berharap dengan perpindahan ke kompleks baru ini akan melonjakkan lagi nama TKC untuk terus menjadi salah sebuah sekolah Sekolah Berasrama Penuh terbaik di negara ini.

Antara tokoh dan pemimpian yang dilahirkan TKC ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara Prof Datuk Dr Mazlan Othman, bekas Naib Canselor Universiti Malaya Tan Sri Rafiah Salim serta Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Norraesah Mohamad. - BERNAMA

Artikel Lain