suria

MCA Selangor Selar Tindakan MBSA Naikkan Cukai Pintu

PETALING JAYA: MCA Selangor menyelar tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana menaikkan cukai pintu sehingga 10 kali ganda, berkuat kuasa tahun depan.

Pengerusi MCA Bahagian Subang Lee Wei Kiat berkata kenaikan itu, yang dikenakan ke atas penduduk Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Baru Subang, dianggap keterlaluan dan mahu ia ditarik balik.

"Kenaikan cukai yang dikenakan ini dilihat tidak munasabah dan membebankan penduduk... cukai ini mula meningkat setiap tahun bermula pada 2011, 2012 termasuk pada tahun depan sehingga mencecah 10 kali ganda.

"Melalui rekod, ada penduduk yang membayar cukai pintu kepada MBSA berjumlah RM1,470 bagi tahun 2011, dan jumlah itu meningkat menjadi RM5,512 pada tahun berikutnya, serta notis baharu yang diterima adalah berjumlah RM23,040 bagi tahun 2013," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya Sabtu.

Beliau berkata rata-rata penduduk turut mempersoal rasional di sebalik kenaikan itu sedangkan perkhidmatan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) didakwa tidak memuaskan.

"Pungut cukai dengan kadar tinggi, tetapi sistem perparitan tidak sempurna, longkang tidak dicuci sehingga menyebabkan kerap berlaku banjir di kawasan terbabit," katanya.

Lee berkata MBSA perlu memaklumkan perkara itu kepada penduduk terlebih dahulu, dan bukan bertindak menaikkan kadar cukai sewenang-wenangnya.

Beliau berkata berikutan itu, penduduk di dua kawasan terbabit akan berkumpul di jalan masuk Kampung Baru Sungai Buloh bagi membuat bantahan secara aman.

"Penduduk akan berkumpul pada Isnin depan kira-kira pukul 2 petang bagi membantah kenaikan cukai ini, dan kami harap pihak MBSA dapat berbincang dengan penduduk untuk menyelesai perkara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain