suria

Warga Emas Maut, Tujuh Cedera Dalam Nahas Kereta-Lori

KUANTAN: Seorang wanita warga emas terbunuh manakala tujuh cedera termasuk empat parah selepas kereta dinaiki mereka berlanggar dengan lori di Km 164 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, dekat Temerloh malam Ahad.

Dalam kejadian 11 malam itu, M. Letchumi, 70, penumpang belakang kereta jenis Proton Wira tersebut, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata empat yang parah dikenal pasti sebagai S. Raja, 38, yang juga pemandu kereta; R. Thanaletchumy, 36; R. Taranitharan, 4; dan R. Thaivegan, 2. Tiga lagi yang cedera ialah R. Kavita, 32; R. Lilashini, 6; dan P. Luckman, 7, katanya di sini Isnin.

Menurut Mohamed Fauzi, kereta yang dinaiki lapan sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan ketika kejadian.

"Kereta itu dilaporkan hilang kawalan lalu merempuh tayar belakang lori terbabit yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Kata beliau, semua mangsa kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pekerja syarikat konsensi Lebuh Raya Pantai Timur Anih Berhad (Anih) maut dirempuh sebuah kereta di Km 192.7 Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Kuala Lumpur dekat sini.

Katanya, lelaki warga Bangladesh itu, Raza Mia Md Mofij Uddin, 35, bekerja sebagai tukang sapu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Kejadian berlaku pukul 12.50 tengah hari ketika mangsa berhenti di tepi lebuh raya tersebut setelah motosikal yang dinaiki bersama rakannya Md Raza Miha, 27, rosak.

"Semasa menunggu rakannya pergi mendapatkan bantuan, tiba-sebuah kereta yang dipandu seorang wanita hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh mangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain