120 Sukarelawan Malaysia Tiba Di Gaza, Bawa Bantuan RM1.8 Juta - Semasa | mStar

120 Sukarelawan Malaysia Tiba Di Gaza, Bawa Bantuan RM1.8 Juta

Sebahagian daripada sukarelawan bergambar selepas Misi Solidariti 2012 tiba di Gaza. -fotoBERNAMA
Sebahagian daripada sukarelawan bergambar selepas Misi Solidariti 2012 tiba di Gaza. -fotoBERNAMA

SEMENANJUNG GAZA: Misi Persaudaraan Aman Palestin (AP) 2012 yang disertai 120 sukarelawan tiba di sini pada Khamis bagi menyampaikan bantuan daripada rakyat Malaysia bernilai RM1.8 juta.

Misi yang dianggotai golongan profesional, artis, atlet dan penuntut itu memasuki Gaza pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (11.40 malam waktu Malaysia) selepas menaiki bas selama enam jam dari Kaherah melalui Terusan Suez, Ismailliya, bandar Sinai dan Arish.

Ketua Pegawai Eksekutif AP Awang Suffian Awang Piut berkata perjalanan jauh itu berbaloi kerana mereka membawa pelbagai bentuk sumbangan termasuk ubat-ubatan serta pembiayaan mikro, iaitu mekanisme untuk membantu penduduk Gaza membina semula kehidupan mereka.

"Kami membawa ubat-ubatan bernilai RM120,000 serta bantuan berjumlah RM315,000 untuk keluarga miskin dan RM300,000 bagi anak yatim di Gaza. Jumlah ini sememangnya tidak mencukupi," katanya kepada Bernama di Rafah.

Katanya sebanyak RM900,000 diperuntuk di bawah program pembiayaan mikro bagi membantu petani dan nelayan membina semula perniagaan mereka yang terjejas teruk dalam serangan terkini Israel.

Katanya bagi tujuan itu, mereka akan menandatangani satu perjanjian dengan Bank Al-Quds yang akan melaksanakan program.

"Kami diberitahu Perdana Menteri Palestin sangat berminat dengan program itu dan kemungkinan besar akan hadir pada majlis tersebut," katanya.

Ketibaan pasukan itu ke Gaza disambut pegawai kerajaan, diketuai Ketua Pembebasan Sekatan Abu Usama Kurd yang juga bekas Menteri Komuniti.

Menurut Abu Usama, kehadiran delegasi Malaysia terutama badan bukan kerajaan sudah menjadi perkara biasa di Gaza dan penduduknya sangat menghargai usaha untuk membantu perjuangan rakyat Palestin itu.

"Gaza kini menjadi pusat tarikan dunia Islam dan negara lain. Satu daripada negara paling berpengaruh dalam membina semula semenanjung ini ialah Malaysia, sebuah negara yang banyak membantu kami pada masa sukar," katanya pada majlis meraikan ketibaan pasukan di Pusat Imigresen Gaza.

Beliau juga berharap Gaza akan menjadi pusat yang menyatukan semua negara, terutama negara Islam, sekali gus meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Palestin sendiri.

"Pasukan ini, yang terbesar dari Malaysia setakat ini, akan terus mendorong kami untuk meneruskan dengan perjuangan. Kehadiran anda sekalian menunjukkan sentimen kemenangan kepada semua penduduk Gaza, terima kasih semua," katanya.

Misi enam hari itu bertujuan menyatakan semangat persaudaraan dan sokongan rakyat Malaysia kepada semua mangsa dalam serangan terkini regim zionis. Pasukan itu akan melawat hospital, mangsa dan juga anak yatim bagi mengenal pasti keperluan mereka.

Sementara itu, ikon AP Farrah Adeeba Mohd Asyraf berkata tindakan membawa kumpulan besar ke sini amat bagus kerana dapat menyedarkan mereka bahawa Gaza merupakan kawasan paling padat di dunia dengan penduduk berjumlah 1.7 juta.

"Saya sudah ke sini sebanyak dua kali dan saya tahu kesannya kepada saya secara peribadi. Saya fikir mereka yang baru pertama kali sampai akan lebih teruja untuk melakukan sesuatu selepas menyaksikan sendiri keadaan di sini.

"Kunjungan ini akan terus mendorong mereka untuk menyokong perjuangan Palestin selepas kembali ke tanah air," katanya.

AP merupakan organisasi Malaysia pertama di Semenanjung Gaza yang memulakan kegiatan amal di sini pada 2006, terutama dalam melaksanakan projek bagi meningkatkan perkhidmatan perubatan serta menjaga kebajikan pelarian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Termasuk Enam GRO Warga Thailand Ditahan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain

Anda boros? Apa kata cuba 5 cara ini