suria

Peraturan Baru Larang Letak Lori, Kenderaan Berat Di Tepi Jalan Atau Kawasan Perumahan

KUALA LUMPUR: Pengendali lori dan kenderaan berat tidak dibenarkan untuk meletakkan kenderaan mereka sewenang-wenangnya di tepi jalan atau kawasan perumahan pada masa akan datang, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

“Garis panduan baru mengenai tempat letak kenderaan berat telah diluluskan oleh Kabinet pada 9 November.

“Ia telah dipersetujui bahawa semua lori dan kenderaan berat tidak akan dibenarkan untuk meletakkannya sewenang-wenangnya di kawasan perumahan atau lokasi yang dianggap tidak sesuai pada masa akan datang,” katanya di Dewan Rakyat sewaktu menggulung ucapan belanjawan kementerian beliau di peringkat jawatankuasa pada Isnin.

Beliau berkata, garis panduan itu digubal oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa, akan dikemukakan kepada kementerian untuk diluluskan tidak lama lagi.

Di bawah cadangan itu, beliau berkata, sektor swasta akan digalakkan untuk menubuhkan tempat letak kenderaan khas bagi kenderaan berat di lokasi tertentu untuk operator meletak kenderaan mereka.

“Bagi pengusaha yang tidak mempunyai depot mereka sendiri, mereka boleh meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kenderaan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan untuk menangani tempat letak kenderaan berat secara rambang, khususnya di kawasan perumahan walaupun terdapat undang-undang mengenainya.

Artikel Lain